Wanna Help me? Click Here....(^_^)

Kursus Kompilasi Perniagaan Internet

Surirumah Jutawan

Monday, December 21, 2009

Apabila anak bertanya tentang Tuhan



Bismillahirrahmanirrahim
Assalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh

Anak-anak ibarat kain putih. Ibubapalah yang mencorakkannya dengan pelbagai warna mengikut apa yang disukai atau difahami dari kehidupan keduanya. Mafhum sabda Nabi SAW “Setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah (semulajadi, bersih dan suci dari dosa), kemudian para ibubapalah yang mencorakkannya sama ada akan menjadi (beragama) Majusi, Yahudi, Nasrani (ataupun beriman kepada Allah)”.

Anak-anak memang suka bertanya. Mereka akan bertanya. Kerana pertanyaan itu adalah terbit dari sifat (fitrah) semulajadi dirinya yang ingin kepada ilmu atau pengetahuan. Kepada kedua ibubapalah pertanyaan selalu diajukan. Dan mereka tidak berhenti sehinggalah segala persoalan itu telah terjawab dan jiwa mereka dipenuhi oleh ilmu dan pengetahuan tentang sesuatu perkara yang ingin diketahuinya.

Sekiranya anak bertanya tentang Tuhan.. adakah kita bersedia dengan ilmu dan metodologi yang sesuai dengan tahap pemikiran anak-anak waktu pertanyaan itu diajukan?

Anak-anak bertanya: Siapakah Allah?
Jawapan cadangan: Allah adalah Tuhan yang patut dan layak diimani oleh semua manusia. Tidak ada tuhan yang layak disembah melainkan Allah.

Kenapa Allah, tidak Tuhan-tuhan yang lain?
Kerana hanya Allah yang berkuasa. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudharat kepada makhluk-makhluk ciptaanNya. Dia tidak serupa dengan makhluk. Kita tidak boleh mengambil apa yang ada dibumi ini untuk dijadikan tuhan kerana semuanya makhluk. Tuhan mestilah tidak serupa dengan makhluk baru ia sebenar tuhan.

Macamana rupa Allah?
Tentulah tidak menyerupai apa-apa yang dapat dilihat sekarang. Pencipta sudah tentu tidak akan sama dengan barang yang diciptakannya. Tidakkah kita perhatikan, tukang roti itu tidak sama dengan roti. Tukang kayu pula bukannya kayu sepertinya. Tukang besi juga tidak sama dengan besi dan bukannya besi. Allah pula tentulah tidak sama dengan manusia atau sebarang makhluk ciptaannya yang dapat kita saksikan di dunia ini.

Di mana Allah?
Allah ada di mana-mana. Kita ini perlukan rumah untuk berlindung daripada panas dan hujan. Kerana kita akan kepanasan terkena terik matahari dan kesejukan tertimpa hujan. Kita perlukan kereta untuk berpindah dari satu tempat ke satu tempat kerana kita tidak mampu untuk berjalan jauh dan kita juga perlu kepada masa. Allah tidak perlu kepada rumah kerana Allah menciptakan matahari, Allah menciptakan hujan. Allah juga tidak perlu kepada kereta dan masa kerana Allah ada di mana-mana dan pada bila-bila masa.

Kenapa Allah buat kita, dan buat semua-semua ni?
Allah ciptakan manusia adalah untuk menjadi hamba kepadaNya. Untuk taat dan patuh kepada setiap apa yang disuruh dan tidak melakukan apa yang dilarangNya. Apatah lagi, apa yang disuruh dan dilarang itu akan mendatangkan pula kebaikan kepada manusia. Allah suruh solat kerana solat itu baik kepada manusia. Allah suruh tutup aurat kerana itu baik untuk keharmonian manusia. Sebab itu kita perlu taat kepada semua suruhan dan menjauhi semua larangan Allah. Barulah kita akan disayangi oleh Allah kerana kita adalah hambaNya yang taat. Kerana tujuan kita dijadikan adalah untuk memperhambakan diri kepada Allah.

Rindu Allah, nak sangat jumpa Allah, bila kita dapat jumpa Allah?
Allah akan membenarkan hambanya melihatNya di akhirat. Sekiranya hamba itu seorang yang taat semasa menjalani hidup di dunia. Dunia ini adalah jambatan menuju ke akhirat. Kita perlu berbuat baik dan memperlakukan yang terbaik semasa di dunia ini untuk dapat redha Allah. Barulah dapat kita berjumpa Allah di akhirat nanti InsyaAllah.

Sesungguhnya hidayah itu milik Allah, dan Dialah yang memberikan hidayahNya kepada orang-orang yang disukainya. Firman Allah (al-Qasas:56) ”Sesungguhnya engkau wahai Muhammad tidak dapat memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau suka, tetapi Allah lah pemberi hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki olehNya”.

Berdoalah kita agar Allah menghendaki kita sebagai penerima hidayahNya. Dengan tingkah laku kita yang baik, InsyaAllah akan menjemput kasih sayang Allah dan Dia tidak pernah berlaku zalim terhadap manusia, sebaliknya manusia itulah yang menzalimi dirinya sendiri. Pesan Nabi Muhammad “selangkah kita menuju Allah, maka sepuluh langkah Allah menerima (menyambutnya), dan jika kita berjalan menuju Allah, maka Allah berlari (lebih cepat) menerima kedatangan kita untuk dekat kepadaNya.

Allahu akbar, walillahi al-hamd. Wassalam.

Dipetik dari :http://ibnrajab.wordpress.com


Dunia Herbs

1