IBADAH Menuntut Ilmu Kepentingan Ilmu Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-Bazzar
Sunday, March 15, 2009
Andainya Cinta Itu Hendak Diberi
Andainya Cinta Itu Hendak Diberi
www.iLuvislam.com
dihantar oleh: yayah
editor : kasihsayang
www.iLuvislam.com
dihantar oleh: yayah
editor : kasihsayang
Andainya sedikit daripada cinta itu hendak diberikan kepada seseorang yang boleh bergelar suami, pilihlah seorang lelaki yang;
1.Kuat Pengamalan Agamanya
Ukuran boleh dibuat apakah dia menjaga sembahyang fardhunya biar sesibuk mana, kerap berjemaah dan sembahyang pada awal waktu.
Ukur juga, apakah dia menjaga auratnya dengan memakai pakaian yang sopan terutama sewaktu bersukan.
Mengutamakan pemuda yang kuat pengamalan agamanya ini adalah sunnah Rasulullah s.a.w. kerana baginda menerima pinangan Sayidina Ali, seorang pemuda paling miskin tetapi paling bertakwa untuk menjadi suami anaknya, Siti Fatimah.
2. Baik Akhlaknya
Ketegasannya nyata tetapi sebenarnya dia seorang yang lembut dan mudah bertolak ansur. Dia bertutur dengan sopan kerana melambangkan peribadi dan hatinya yang mulia. Rasulullah s.a.w. bersabda;
"Jika (seorang lelaki) datang (untuk meminang anak perempuanmu) dan kamu berpuas hati dengan agamanya serta akhlaknya,nikahkanlah dia (dengan anak perempuan kamu). Jika hal itu kamu tidak lakukan maka akan terjadi fitnah di bumi dan kerosakan yang amat luas."
3. Tegas Mempertahankan Maruah
Ukur, apakah dia pernah pergi ke tempat-tempat yang bleh menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya seperti ke tempat-tempat hiburan yang penuh dengan maksiat.
4. Amanah
Selidiki, apakah dia seorang yang tidak pernah mengabaikan tugas yang diberikan kepadanya atau apakah dia pernah menyalahgunakan kedudukannya.
5. Tidak Boros
Dia bukanlah kedekut tetapi seorang yang tahu membelanjakan wangnya dengan bijaksana. Nikmat yang ada padanya seperti makanan boleh dikongsi sama dengan orang-orang lain yang berhak.
6. Tidak Mengelingas Matanya
Perhatikan apakah matanya kerap mengelingas ke arah perempuan lain yang lalu-lalang sewaktu berbicara. Jika begitu, dia seorang yang bermata keranjang dan berbahaya untuk disenaraikan calon suami.
7. Terbatas Pergaulan
Dia tidak mengamalkan cara hidup bebas walaupun sebagai lelaki dia tahu dia tidak mudah menjadi fitnah orang.
8. Siapakah Rakan Pergaulannya
Rakan-rakan pergaulan adalah yang sama sepertinya.
9. Bertanggungjawab
Rasa bertanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh manakah dia menguntukkan dirinya untuk ibu bapa dan ahli keluarganya. Jika dia seorang yang agak berada tetapi keluarganya hidup susah,dia bukanlah seorang yang bertanggungjawab.
10. Tenang wajahnya
Apa yang tersimpan dalam sanubari kadang-kadang terpancar pada air muka. Perhatikan, apakah wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak. Andainya dia seorang yang kelam-kelibut dia bukanlah calon suami yang anda cari-cari.
- Berbahagialah anda jika dicintai calon suami yang demikian sifatnya. Semoga berbahagia di dunia dan akhirat.
- Cinta seorang wanita bukan untuk 'buaya-fren' tetapi untuk suaminya yang sah.
Saya Sayang Awak
Saya Sayang Awak
www.iluvislam.com
Cahaya Pembuka
Editor : arisHa27
www.iluvislam.com
Cahaya Pembuka
Editor : arisHa27
Awak ingat tak tarikh 29 Mac? Awak mesti tak ingat, kan? Tapi awak tau tak yang tarikh tu tarikh yang saya takkan lupakan sepanjang hidup saya? Awak tau kenapa? Sebab pada 29 Mac itulah kita disatukan sebagai suami isteri. Sampai saat ni saya tak percaya. Saya rasa nak ketawa. Kelakar rasanya. Macam mana kita boleh jadi suami isteri sedangkan awak tak pernah rapat dengan saya? Awak tau tak, hari kita bernikah tu, saya tertanya-tanya kenapa awak bernikah dengan saya? Kenapa awak pilih saya? Tapi awak tetap terima nikah dan lafazkan nama saya dalam satu nafas.
Wajah awak nampak tenang bila bersalaman dengan Papa saya. Awak senyum pada Ibu awak yang berada di sisi saya. Perlahan-lahan awak hampiri saya. Abang awak buka bekas cincin dan awak sarungkan cincin itu di jari manis kiri saya. Kemudian bibir awak menyentuh dahi saya. Saya tak berani nak pandang awak. Mata awak tajam. Saya cuma senyum. Semua itu lakonan semata-mata, kan? Bergetar tangan saya waktu cium tangan awak. Awak percaya tak itu kali pertama saya bersalam dengan seorang lelaki? Dan lelaki itu adalah awak, suami saya.
Ibu awak peluk saya. Kemudian saya nampak Mama. Saya rasa sedih sangat. Hari tu saya dah jadi milik awak sepenuhnya. Selepas majlis bernikah, awak balik ke rumah awak. Majlis perkahwinan kita diadakan pada keesokan harinya. Mama bertekad nak buat besar-besaran walaupun saya menolak. Bagi saya, majlis persandingan tak perlu. Cukup sekadar adakan kenduri tapi Mama tak setuju. Awak tau tak saya langsung tak pernah ambil tahu tentang majlis perkahwinan saya? Entahlah, saya pun tak tahu kenapa. Mungkin saya kerana saya sebenarnya tak percaya yang saya akan berkahwin dengan awak.
Macam mana saya nak cakap, ya? Awak tau tak saya admire awak selama ni? Mesti awak terfikir sejak bila saya kenal awak, kan? Awak tak ingat ke? Dulu kita belajar di universiti yang sama sewaktu diploma. Awak pelajar diploma kejuruteraan awam UTMKL, seksyen 3, kan? Saya tau banyak perkara tentang awak. Saya tahu warna kesukaan awak, hobi awak, makanan kegemaran awak … Girlfriend awak pun saya kenal. Semua tu saya kawan saya, Izzah yang beritahu. Izzah girlfriend awak, kan? Atau sepatutnya saya kata salah seorang yang pernah jadi girlfriend awak?
Saya tau awak ada banyak girlfriend. Maklumlah, awak seorang lelaki yang ada banyak kelebihan. Kalau awak senyum je mesti ada yang akan jatuh cinta. Macam saya. Saya temankan Izzah bertemu dengan awak buat pertama kali awak berdua berjumpa. Kelakar rasanya bila saya pun jatuh cinta dengan awak. Tapi Izzah tak pernah tau perasaan saya terhadap awak. Awak tau tak betapa terseksanya saya setiap kali Izzah ceritakan tentang awak? Izzah ceritakan yang awak hadiahkan dia rantai, bantal bentuk hati … Apa lagi ya? Banyak sangat yang awak beri pada Izzah.
Saya cemburu sangat tiap kali Izzah bergayut dengan awak dalam phone. Saya terfikir kalaulah saya dapat miliki awak, adakah awak akan layan saya macam awak layan Izzah? Saya jadi saksi percintaan awak dengan Izzah. Izzah selalu suruh saya temankan bila awak nak jumpa dengan dia. Entahlah awak, Saya jatuh cinta sangat dengan awak sampai saya sanggup khianati kawan saya. Izzah tak tau saya ambil nombor handphone awak. Saya beli SIM card baru dan mula kacau awak. Saya tak sangka awak akan layan saya.
Izzah tak pernah tau saya kacau awak and awak pun tak pernah beritahu Izzah. Cuma pernah sekali Izzah mengadu kat saya yang awak dah semakin jauh dari dia. Saya terfikir, sayakah penyebabnya? Tapi awak jarang balas mesej saya. Cuma sesekali awak akan balas mesej saya, bertanyakan siapa saya. Saya tak pernah bagitau dan awak tak pernah tau, walaupun kita dah berkahwin. Saya mesej awak, saya berterus terang yang saya sukakan awak. Entah apa perasaan awak masa tu, kan?
Awak ingat tak rak 108 kat Perpustakaan Sultanah Zanariah? Rak itulah yang jadi tempat kita bertukar banyak benda. Masa birthday awak, saya hadiahkan awak T-shirt warna hitam. Saya rasa happy sangat bila saya nampak pakai baju tu. Awak nampak menyerlah bila pakai baju warna hitam. Tiba satu masa, kita jadi rapat walaupun masa tu awak masih dengan Izzah. Kita berbual tentang banyak perkara termasuklah study. Kalau saya ada hint untuk final exam, rak 108 tu lah yang awak akan cari. Saya rasa tak percaya bila awak bagi hadiah untuk saya masa birthday saya.
Saya ingatkan awak tak ingat. Awak bagi saya tudung warna putih. Cantik tudung tu. Tapi saya tak pernah pakai waktu di kampus. Ye la, kalau saya pakai, mesti awak kenal saya, kan? Tapi tudung tu la yang saya paling sayang sebabnya awak yang bagi. Hehehe. Bukan sekali dua awak tanya siapa saya. Nama saya pun awak tak tau. Awak pernah gurau dengan saya. Awak kata kalau saya tak bagitau nama saya, awak akan panggil saya sayang. Saya ketawa besar walaupun dalam hati saya mula risau. Izzah selalu mengadu dengan saya yang awak mula tak hiraukan dia.
Setiap kali awak telefon, saya akan keluar dari blok hostel saya sebab saya tak nak ada orang tau yang saya sedang berbual dengan awak. Terutamanya Izzah. Awak rasa saya ni jenis yang kawan makan kawan ke? Saya bukan nak memiliki awak. Saya cuma nak jadi sebahagian daripada hidup awak. Tak sangka akhirnya saya memang menjadi sebahagian daripada hidup awak, kan? Menjadi isteri awak bukanlah sesuatu yang saya pernah fikirkan. Awak akan jatuh hati pada saya juga tak pernah saya fikirkan. Saya menangis waktu awak luahkan perasaan awak.
Bukan saya tak sukakan awak. Saya cintakan awak sepenuh hati saya tapi saya sedih saya tak dapat jadi milik awak sebab yang awak cintakan sebenarnya bukanlah diri saya, Ariana tetapi Rie. Rie cumalah bayang-bayang. Walaupun semua perkara yang saya ceritakan pada awak adalah mengenai saya, Ariana tapi bagi awak, saya Rie. Awak kenal Ariana tapi awak tak ada perasaan pada dia. Awak sebenarnya tak ada perasaan pada saya. Saya juga sedih sebab saya khianati kawan baik saya sendiri. Kenapa awak sukakan Rie dan sanggup tolak Izzah?
Selepas saya menangis, Izzah datang bertemu saya dalam air mata. Awak tinggalkan Izzah! Kerana saya! Saya tak tau siapa yang kejam. Sayakah yang membuatkan Izzah menangis dan membuatkan awak terluka? Atau awak yang membuatkan Izzah menangis dan menderita sendiri akhirnya? Maafkan saya, awak … Bukan niat saya nak mempermainkan cinta awak. Percayalah, saya cintakan awak tapi orang yang awak cintai bukanlah saya. Saya tau awak akan tolak saya jika awak mengenali saya. Saya tak macam awak yang punya segalanya. Saya tak secantik Izzah, tak sebaik Izzah.
Awak pun tau saya macam mana, kan? Pertama kali Mama dan Papa beritahu yang keluarga awak datang meminang saya, perkara pertama yang saya fikir ialah adakah awak dah tau yang saya Rie ke? Kenapa awak memilih saya? Kenapa tak orang lain yang sepadan dengan awak? Awak tak takut orang lain mengata awak kerana memilih perempuan yang tidak sepadan dengan awak? Saya rasa rendah diri sangat bila kita berdua duduk bersanding di atas pelamin. Saya dapat dengar orang memperkatakan dengan kita.
Macam Prince Charming and the Witch. Hari yang sepatutnya menjadi hari bersejarah, hari paling bahagia dalam hidup saya jadi hari yang paling mendukacitakan. Saya terasa kerdil sangat di samping awak. Tapi awak cuma senyum. Itulah yang melapangkan dada saya, yang membuatkan semua kemarahan saya hilang. Semasa awak senyum pada saya, saya terfikir. Kita sudah lama tidak bertemu sejak kita mengikut haluan masing-masing. Awak melanjutkan pelajaran ke Jepun sedangkan saya hanya mampu menyambung pelajaran di UTM Skudai dalam bidang ukur bahan.
Saya tak tahu macam mana awak boleh berjumpa dengan saya. Saya tak tau macam mana awak boleh meminang saya. Kita tak pernah berjumpa sejak hari konvokesyen, kan? Sewaktu kita hampir disatukan pun kita tak pernah bertemu, kan? Kenapa awak pilih saya? Takkanlah orang seperti awak tak ada pilihan sendiri? Bila kita berkahwin, salah satu perkara yang saya paling gerunkan adalah malam pertama. Saya mula terfikir yang bukan-bukan tentang malam pertama.
Tapi saya tak sangka saya tak pernah dapat mengecapi malam pertama yang diidamkan pasangan lain. Awak tak sentuh saya langsung. Bercakap dengan saya pun tidak. Awak dingin. Saya cuba pujuk hati saya sendiri. Bagi saya, mungkin awak segan. Saya pun segan dengan awak. Ye la, awak ex-boyfriend kawan saya dan saya kawan ex-girlfriend awak. Oh ya, bercakap tentang Izzah, dia ada datang waktu majlis perkahwinan kita. Awak perasan tak? Ke awak dah lupakan Izzah? Awak tak tau betapa risaunya saya waktu saya call dia.
Dia tanya, siapa bakal pasangan hidup saya yang bertuah tu? Lidah saya kelu. Tapi saya berterus terang. Saya katakan pada saya yang saya tak pernah berjumpa dengan awak sama sekali dan saya tak ada idea apa yang menyebabkan awak meminang saya. Syukurlah Izzah memahami. Katanya, apa yang sudah berlalu biarkan berlalu dan kebahagiaan saya adalah kebahagiaan baginya. Tapi kenapa awak tak macam tu? Kebahagiaan saya awak tak pernah fikir pun. Awak berikan saya segalanya. Tapi awak tak pernah berikan saya kasih sayang.
Seminggu selepas kita berkahwin, awak luahkan hasrat awak untuk berpindah. Awak kata, awak dah beli rumah. Saya terkejut. Awak tak pernah beritahu saya pun. Mama tak bersetuju sebab Mama tak nak berjauhan dari saya tapi saya katakan pada Mama yang tempat seorang isteri adalah di sisi suaminya. Jika awak nak berpindah ke mana sekali pun, saya akan ikut bersama awak sebab tempat saya adalah di sisi awak. Kemesraan kita di hadapan Mama dan Papa cumalah lakonan. Di belakang mereka, kita umpama batu yang tak berperasaan.
Awak jangan cuba kata yang saya tak pernah cuba untuk bermesra dengan awak! Saya dah cuba yang terbaik. Setiap kali kita berdua dalam bilik, saya akan cuba berbual dengan awak. Saya bertanya tentang semua perkara tentang awak tapi awak bercakap seakan terpaksa. Kecil hati saya. Tapi saya tak pernah berhenti mencuba. Selepas kita berkahwin, awak tak izinkan saya bekerja. Saya akur. Saya tinggal di rumah itu, sendirian. Saya rasakan diri saya tak ubah seperti robot. Saya akan bangun awal pagi sebelum awak bangun untuk masak sarapan.
Sebelum azan subuh, saya akan kejutkan awak untuk solat. Kita akan bersolat berjemaah. Kita bersarapan bersama dan saya akan temani awak sehingga ke pintu untuk bersalam dengan awak sebelum awak pergi kerja. Setiap pagi saya tak pernah lupa untuk minta maaf jika saya ada silap. Entahlah, saya dah terbiasa untuk meminta maaf. Tapi tu semua berlaku dalam seminggu saja. Satu pagi, bila saya bangun, awak tak ada di sisi saya. Dada saya berdebar kencang. Saya ketuk pintu bilik air tapi awak tak ada.
Saya ke ruang tamu tapi awak tak ada. Dalam perasaan risau saya lihat semua barang-barang penting awak masih ada. Saya buka pintu bilik kedua. Awak sedang tidur dengan lena. Air mata saya tumpah. Kenapa awak buat macam ni? Hati saya betul-betul terluka tapi saya tak pernah luahkan. Pagi tu saya siapkan sarapan dalam air mata. Saya terfikir apa salah saya sebenarnya sampai awak buat saya macam batu. Saya tetap kejutkan awak macam biasa. Awak nampak terkejut tapi saya gagahkan diri saya untuk senyum.
Dengan suara yang lembut saya suruh awak bangun dan mengimamkan solat subuh. Pagi itu berbeza sekali rasanya. Di minda saya cuma terfikir satu perkara. Awak sebenarnya tak ikhlas memperisterikan saya. Tapi saya tak tau kenapa. Kenapa perlu awak ikat diri awak dalam perkahwinan ini dan seksa saya sebegini. Saya tetap maniskan muka walaupun saat tu perasaan saya dah mati. Saya tetap salam dan cium tangan awak dan tak lupa ucapkan maaf. Awak nampak serba salah tapi saya tetap cuba untuk tak kelihatan terluka.
‘Smlm pns, sbb 2 sy tdur kt blik lain.’
Saya tersenyum pahit waktu baca mesej dari awak. Kenapa awak berpura-pura dengan saya? Panas? Dengan aircond yang terpasang pada 16 darjah? Saya rasa marah sangat tapi saya biarkan perasaan tu berlalu. Entahlah awak, Saya sendiri terfikir kenapa saya selalu abaikan perasaan saya. Malam-malam seterusnya berlalu dengan awak mengasingkan diri di bilik kedua. Saya tak pernah bertanya. Saya diamkan diri tapi saya tak pernah lupakan tanggungjawab saya. Alhamdulillah, awak pun tak pernah abaikan kewajipan awak untuk berikan nafkah zahir pada saya.
Bila saya fikirkan balik, kita tak pernah keluar berdua kecuali sewaktu ke rumah saya atau ke rumah awak. Setiap kali keluar membeli barang dapur atau keperluan kita, saya akan pergi sendiri. Saya tidak kisah kerana saya boleh berdikari sendiri tapi saya terfikir. Apa status saya di mata awak? Saya isteri awak atau cuma orang gaji awak? Saya jaga dan uruskan keperluan awak sendirian. Kadang-kadang saya terserempak dengan kawan-kawan saya sewaktu saya shopping sendirian. Semua bertanya di mana awak.
Lidah saya kelu untuk berkata. Alasan saya cumalah satu. Awak sedang bekerja atau awak outstation. Sedangkan saya tak tahu awak di mana! Pernah sekali awak hantar mesej pada saya. Kita berhubung dengan mesej. Awak tak pernah call saya dan setiap kali saya call, awak tak pernah jawap. Alasan awak, awak sedang bermesyuarat. Tapi takkanlah awak ada mesyuarat setiap hari, kan? Hari demi hari saya jadi lali dan give up untuk call awak. Awak kata ada dinner syarikat di Dewan Perdana Felda dan semua pekerja terpaksa bawa pasangan masing-masing.
Saya terasa kecil hati. ‘Terpaksa’ bawa pasangan masing-masing. Awak terpaksa ajak saya rupanya. Saya sediakan pakaian awak untuk dinner malam itu. Saya sengaja pilih baju batik yang sepadan dengan baju saya. Untuk dinner malam tu, saya keluar ke butik untuk make up wajah saya. Saya nak nampak sepadan dengan awak. Tapi malam tu tak seindah yang saya harapkan. Saya tak nafikan semua orang memuji saya tapi awak sedikit pun tak pandang saya. Usahkan pujian, bercakap dengan saya pun tidak.
Di depan kawan-kawan awak, awak peluk pinggang saya, awak pegang tangan saya. Hati saya benci sangat awak buat macam tu. Tapi saya halal untuk awak. Saya terpaksa relakan awak buat begitu. Bila majlis berakhir, awak minta saya tunggu di kereta. Saya cuma menurut tetapi kemudian saya terasa ingin pergi ke tandas. Sewaktu dalam perjalanan tu, mata saya sendiri saksikan awak sedang bersama seorang perempuan. Hancur luluh hati saya, awak! Saya pujuk hati saya. Saya katakan pada diri saya yang dia hanyalah rakan sekerja awak tapi awak dan dia terlalu mesra!
Awak genggam tangan dia, awak belai pipi dia. Mustahil awak hanya berkawan dengan dia, kan? Niat saya untuk ke tandas terus mati. Saya kembali ke kereta, melayan duka sehingga awak datang. Awak tak cakap sepatah pun. Saya hanya mendiamkan diri sepanjang perjalanan pulang sedangkan awak bersiul bahagia. Tiba di rumah saya terus membersihkan diri. Saya bermunajat kepadaNya malam itu. Saya cuba hilangkan pedih di hati saya dengan berdoa pada ALLAH. Awak ingat tak pernah sekali Ibu awak datang tinggal di rumah kita selama tiga hari? Itulah saat yang paling bahagia saya rasakan.
Sebab awak akan layan saya dengan baik walaupun itu semua lakonan. Sekurang-kurangnya dengan adanya Ibu, saya bukan batu yang awak boleh abaikan sesuka hati awak. Setiap pagi saya akan bangun dan sediakan sarapan. Kemudian saya akan berjalan-jalan dengan Ibu. Saya tak sendirian! Awak pulang awal ke rumah semasa Ibu tinggal di rumah kita. Saya bahagia, awak … Sebab kalau Ibu tak ada, awak mesti balik lewat. Saya tetap tunggu awak walaupun ada kalanya saya menunggu sehingga tertidur.
Bila awak balik, awak akan kejutkan saya supaya tidur di bilik. Tapi perkara pertama yang saya akan tanya adakah awak dah makan. Saya siapkan makan malam setiap hari walaupun terpaksa tunggu awak balik. Awak akan kata yang awak dah makan tapi awak akan tetap makan masakan saya. Saya tahu awak terpaksa tapi saya tetap hargai awak. Saya kagum dengan awak sebab awak berterus terang dengan saya. Satu hari, waktu saya tengah mengemas, wallet awak jatuh. Saya nampak ada gambar perempuan dalam wallet awak. Dialah perempuan yang bersama awak malam itu.
Awak cepat-cepat tutup dan simpan wallet awak. Tapi saya cuba senyum dan tanya pada awak siapa perempuan itu dengan lemah lembut walaupun hati saya dah remuk saat tu. Awak kata dia girlfriend awak. Awak dah bercinta dengan dia sejak di Jepun lagi. Saya cuma senyum. Hati saya menangis. Saya memang tak sepadan dengan awak. Entah apa awak fikir tentang saya. Mungkin awak fakir saya pun tak serius dengan perkahwinan kita. Awak silap. Perkahwinan kita ni satu rahmat dan kebahagiaan buat diri saya.
Saya tak pernah merasa sebahagia ini sebelum ini. Tapi saya juga tak pernah rasa sederita ini sebelum ini. Awak berikan saya cahaya kebahagiaan tapi dalam masa yang sama suasana terlalu gelap sehingga menyeksa saya untuk mengejar cahaya kebahagiaan itu. Satu malam, kita duduk berdua di meja makan. Kita berbincang. Awak tanyakan pada saya sama ada mahu teruskan perkahwinan ini atau tidak. Sakit hati saya dengar kata-kata awak. Awak seakan-akan mahu memutuskan ikatan halal antara kita. Saya menangis di depan awak.
Sumpah, saya tak pernah mahu memutuskan ikatan perkahwinan ini walau macam mana pun awak layan saya. Sebab saya sayangkan awak. Awak bingung. Saya katakan pada awak yang saya tidak kisah jika awak hendak menikahi teman wanita awak tetapi jangan putuskan ikatan perkahwinan kita. Entahlah, bagi saya perkahwinan dengan awak adalah segala-galanya. Awak akur. Tapi jujur saya katakan yang saya menipu kalau saya tak ada perasaan setiap kali lihat awak tersenyum bahagia bila berbual dengan girlfriend awak.
Setiap kali saya melalui bilik kedua, mesti saya dengar awak ketawa. Saya selalu terbayang betapa bahagianya saya kalau awak sedang ketawa dengan saya? Sejak saya beritahu saya tak kisah tentang hubungan awak dengan dia, kita jadi rapat. Sekurang-kurangnya awak tak lagi diamkan diri macam dulu. Sejak hari tu awak mesti senyum dengan saya dan tegur saya. Awak puji saya. Walaupun saya tak tau awak ikhlas atau tak, saya tetap gembira. Awak tak segan silu ceritakan pada saya tentang girlfriend awak. Awak minta nasihat saya. Awak kata saya sahabat awak. Pilu hati saya, awak.
Tapi tak apalah, saya sanggup hadapi semua ini asalkan awak ada dengan saya. Setiap kali awak ada masalah dengan girlfriend awak, awak akan ceritakan pada saya. Walaupun hati saya pedih, saya tetap bahagia. Satu malam, awak pulang lewat. Mata awak sembap macam baru lepas menangis. Awak terus masuk bilik, langsung tak bertegur dengan saya yang ada depan mata awak. Saya risau tengok awak sedih. Saya ketuk pintu bilik awak. Awak tak buka pintu. Tanpa keizinan awak, saya masuk bilik awak. Awak duduk menangis di birai katil.
Saya duduk sebelah awak, pegang tangan awak. Awak genggam tangan saya kuat-kuat. Esakan awak makin kuat. Saya tak cakap sepatah perkataan pun. Saya biarkan awak menangis sebab bagi saya awak cuma perlu luahkan segalanya. Mungkin bukan pada saya tetapi pada diri awak sendiri. Lama awak menangis sampai air mata saya pun hampir mengalir. Saya sedih tengok awak menangis. Saya tak nak sesiapa pun lukakan perasaan awak. Saya biarkan awak peluk saya. Basah bahu saya dengan air mata awak. Jantung saya berdegup kuat bila awak peluk.
Inilah kali pertama awak peluk saya dengan keikhlasan walaupun mungkin awak tak sedar awak sedang memeluk saya. Awak baring di riba saya. Basah seluar tidur saya dengan air mata awak tapi saya tetap biarkan. Saya beranikan diri untuk belai rambut awak. Akhirnya awak tertidur di riba saya. Saya tak sampai hati untuk kejutkan awak. Waktu awak tidur itulah saya renung awak puas-puas. Jahat ke saya kalau saya rasa bahagia bila awak sedang sedih? Saya bahagia awak terima saya di saat awak memerlukan seseorang.
Saya terbangun bila saya terdengar suara awak. Saya terkejut sebab awak tak tidur di riba saya tetapi di sisi saya. Awak peluk pinggang saya. Dada saya berdebar. Dahi awak berpeluh. Baju awak basah sebab peluh. Saya sentuh dahi awak. Panas. Awak demam! Cepat-cepat saya ambil tuala kecil dan ais. Saya lap peluh awak dan tekap dahi awak dengan ais. Awak pegang tangan saya waktu saya lap dahi awak. Saya ingatkan awak sedar tapi rupanya awak sedang mengigau. Awak sebutkan nama Diya. Mengalir air mata saya, awak.
Walaupun saya tahu awak tak sedar, tapi saya tak dapat kawal hati saya daripada terluka. Kenapa dia yang awak rindui? Kenapa nama dia yang awak sebut? Keesokan harinya apabila saya membuka mata, saya sedang berbaring di katil awak. Awak tak ada. Saya terus cari awak tapi awak tak ada. Di meja di bilik saya, awak sisipkan sekeping nota.
‘Terima kasih sebab jaga saya malam tadi. Malam ni saya balik lewat. Jangan tunggu saya.’
Saya tertanya … Bila awak tulis nota tu, ada tak awak fikirkan tentang perasaan saya? Saya koyak nota awak dan campakkan ke tong sampah. Saya benci awak layan saya macam ni! Saya hantar mesej pada awak untuk beritahu yang saya akan tinggal di rumah Mama selama beberapa hari. Sebelum saya pergi, saya siapkan keperluan awak untuk seminggu. Tapi sebenarnya saya tak pergi ke rumah Mama. Saya bercuti sendirian di Cameron Highlands. Percutian saya bukanlah untuk bergembira. Saya banyak berfikir di sana. Saya mula fikirkan pertanyaan awak dulu untuk berpisah.
Saya mula menyesali keputusan saya untuk meneruskan ikatan kita. Sebab saya menderita! Tapi saya tak salahkan awak. Saya sendiri yang lukakan perasaan saya, kan? Setiap hari saya menangis. Di sana, saya berjalan-jalan sendirian sedangkan setiap orang di sana berteman. Mereka nampak bahagia, awak! Tapi kenapa kita tak bahagia? Sebab hati awak bukanlah untuk saya. Semasa di Cameron Highlands, saya matikan handphone saya. Walaupun hati saya meronta untuk mengaktifkan handphone tapi saya kuatkan hati saya.
Setiap hari saya tertanya, awak pernah ke cari saya? Selepas seminggu, barulah saya pulang. Saya kuncikan pintu bilik dan tak tunggu awak balik. Hati saya meronta nak lihat wajah orang yang paling saya rindui tapi saya takut saya menangis. Saya tak nak menangis di depan awak. Saya tak nak awak fikir saya nak dapatkan perhatian awak. Saya tetap tunggu awak sebenarnya. Pukul 10 malam barulah awak pulang. Awak berhenti di sisi kereta saya dan pandang ke arah bilik saya. Saya sembunyikan diri. Kemudian awak masuk ke dalam rumah.
Saya berdoa awak akan ketuk pintu bilik saya tapi yang saya dengar cumalah awak menutup pintu bilik awak. Air mata saya mengalir. Awak mesti tak rasa apa-apa bila saya tak ada, kan? Pagi itu saya mulakan kembali rutin harian saya. Selesai memasak sarapan pagi, saya ketuk pintu bilik awak. Tapi awak tak ada. Bilik awak kemas macam awak tak balik semalam. Di atas meja ada nota untuk saya.
‘Saya outstation tiga hari di JB. Nanti saya belikan something utk awak. Jaga diri baik-baik.’
Entahlah apa yang saya rasa waktu tu. Saya dah lupa. Saya cuma tutup pintu bilik awak dan saya berkemas. Saya pergi ke rumah Mama. Saya tak beritahu awak pun. Mama tak pernah beritahu yang awak cari saya semasa seminggu saya di Cameron. Awak tak pernah cari saya rupanya. Awak tak pernah hiraukan tentang diri saya. Selepas tiga hari, awak jemput saya di rumah Mama. Saya tak tau macam mana awak boleh cari saya di rumah Mama. Awak nampak penat.
Saya terus siapkan makanan untuk awak. Awak nampak berselera benar. Awak kata pada Mama yang awak rindukan masakan saya setelah berjauhan selama beberapa hari dengan saya. Awak tipu, kan? Awak kata awak penat jadi awak nak tidur di rumah Mama. Saya tak suka! Depan Mama saya pujuk awak untuk balik tapi awak menolak. Saya tak nak duduk di bilik yang sama dengan awak. Saya rimas awak ada dekat dengan saya. Saya bencikan awak! Bila awak minta izin untuk masuk ke bilik, saya sediakan semuanya untuk awak. Kemudian saya keluar dari bilik untuk menonton TV.
Semua tu alasan semata-mata. Awak datang jumpa saya. Mama senyum lihat awak datang sedangkan perasaan saya membara dalam hati. Saya berpura-pura mesra di hadapan Mama. Sejam kemudian awak ajak saya tidur. Terbeliak mata saya dengar awak bahasakan diri awak Abang. Saya menolak dengan mengatakan saya mahu menonton TV tapi Mama mencubit lengan saya. Dengan perasaan terpaksa, saya ikut awak masuk ke dalam bilik. Dalam bilik, saya mendiamkan diri. Saya duduk di atas kerusi. Perlahan-lahan awak datang hampiri saya.
"Boleh kita bercakap?" Awak meminta izin. Saya membatukan diri tetapi kemudian saya menganggukkan kepala. "Awak pergi mana minggu lepas?" Tenang awak bertanya. "Rumah ni la." Jawab saya pendek. Saya tahu menipu hukumnya berdosa tapi salahkah saya kerana tak mahu melukai perasaan saya sendiri? Saya berhak untuk gembira dan bahagia. "Saya tahu awak menipu." Saya mendiamkan diri. Dalam hati saya bertanya. Kalau awak dah tau saya menipu, kenapa awak perlu tanya? Kenapa tak berterus terang?
"Jangan buat macam tu lagi. Saya risau bila Mama cakap awak tak ada datang pun. Saya terpaksa tipu Mama katakan yang awak ada sedangkan saya cari awak setengah mati. Dah lah awak off handphone." Awak luahkan perasaan marah awak. Saya terfikir, Cuma sebab itu pun awak nak marah? Macam mana dengan saya yang terpaksa memendam rasa selama hampir setahun kita berkahwin? Sekali pun saya tak pernah ungkit! Tapi saya tak nak panjangkan cerita. Awak tak kenal saya. Saya sebenarnya keras kepala tapi demi awak saya sanggup berubah.
Saya rasa awak tahu saya sedang marah. Sejak hari tu, awak selalu pulang awal dan cuba untuk bercakap dengan saya. Tapi biasanya saya mendiamkan diri dan hanya menjawab sepatah untuk semua soalan awak. Saya cuba penuhi tanggungjawab awak. Saya tak lupa untuk kejutkan awak, sediakan sarapan awak, siapkan pakaian untuk awak bekerja. Tapi saya cuba untuk mengelak daripada berdua dengan awak. Perasaan saya sentiasa terganggu bila awak ada dengan saya. Awak pernah tanya kenapa tak makan bersama. Saya cuma katakan yang saya kenyang atau tidak berselera.
Bersama awak, saya seakan patung tak bernyawa, mati. Satu hari, awak hantar mesej. Awak nak ajak makan di luar. Saya menolak. Bagi saya, lebih baik saya makan sendirian daripada makan bersama awak. Saya katakan saya tak ada mood untuk keluar. Tapi awak memaksa. Malam tu istimewa rupanya. Awak hadiahkan saya mawar dan seutas gelang tangan. Awak mohon maaf untuk semua kesilapan awak. Saya rasa tak percaya. Kenapa tiba-tiba awak berubah? Apa yang menyebabkan awak berubah? Tapi saya gembira, awak !
Malam itu kita pulang lewat kerana awak berkeras mahu menikmati suasana malam di KLCC. Itulah kali pertama kita berbual dan ketawa bersama. Terima kasih, awak!! Kerana sudi membahagiakan saya saat itu. Hari yang mendatang membahagiakan saya. Saya kembali ke rutin dahulu. Awak kerap pulang awal ke rumah dan kita menghabiskan masa berdua. Walaupun kita masih tidur berasingan seperti dulu, sekurang-kurangnya saya tak rasakan rumah itu tidak mengurung jiwa saya lagi. Setiap hujung minggu mesti awak bawa saya keluar.
Saya rasa pelik kenapa awak mula baik dengan saya. Saya beranikan diri untuk bertanya pada awak tapi lidah saya kelu. Saya takut jika saya tanya, hubungan kita akan suram seperti dulu. Seingat saya, itu antara saat yang paling membahagiakan ketika bersama awak. Tapi semua itu berubah dalam satu malam. Satu malam, awak pulang ke rumah dalam keadaan marah. Awak hempaskan pintu bilik. Saya mengurut dada kerana terkejut. Saya ketuk pintu bilik awak. Awak buka pintu dan menjerit ke arah saya.
Saya terkejut. Itulah kali pertama saya lihat awak marah. Kemudian awak hempaskan pintu bilik di depan saya. Saya tak nafikan perasaan saya tercalar tapi saya bersabar. Mungkin awak ada masalah. Selesai memasak, saya buka pintu bilik awak tanpa mengetuk pintu terlebih dahulu. Awak sedang duduk di atas katil. Awak menundukkan kepala. Saya tahu awak menangis. Saya berdiri di hadapan awak dan pegang bahu awak. Awak peluk saya. Bersaksikan ALLAH, malam tu saya serahkan diri saya yang halal untuk awak.
Pukul 3 pagi, sewaktu awak sedang tidur, saya bangun dan menunaikan solat sunat kerana saya bersyukur sekali. Niat saya ingin kembali ke bilik awak tetapi saya rasa malu sekali. Saya tidur di bilik saya walaupun hati saya meronta untuk berada di sisi awak. Saya terbangun bila pintu bilik saya diketuk kuat. Dengan rasa mengantuk, saya lihat jam menunjukkan pukul 9 pagi. Saya beristighfar dan segera membuka pintu. Bila saya buka pintu, awak tolak saya sampai saya terjatuh. Saya terpana. Saya ingatkan awak akan berhenti tapi awak tarik rambut saya dan tampar pipi saya berulang kali.
"Kau sengaja goda aku malam tadi! Kau sengaja buat macam tu! Kau nak ikat aku, kan? Sama macam mana kau ikat nenek aku supaya aku berkahwin dengan kau!" Demi ALLAH, saat tu saya rasakan saya kehilangan perasaan saya. "Kau ingat aku nak kahwin dengan kau? Kalau bukan sebab wasiat nenek aku, aku tak akan kahwin dengan kau!" Awak tendang tubuh saya. Air mata saya mengalir laju. Saya tak tau macam mana nak pertahankan diri saya. Saya rasa lemah sangat, awak . Barulah saya tau kenapa awak berkahwin dengan saya tapi. Tapi kenapa awak kejam sangat dengan saya? Awak kata saya goda awak? Saya cuma serahkan sesuatu yang halal untuk awak! "Bodoh! Bodoh!" Awak terus pukul tubuh saya. Sakit sangat, awak!
Tapi hati saya lagi sakit. Dalam keadaan marah, awak keluar dari rumah. Saya duduk menangis di birai katil sehingga saya tertidur. Bila saya bangun, awak masih belum pulang. Awak tak pulang malam tu. Tak … sejak hari tu awak tak pernah pulang. Bukan sekali dua saya cari awak. Saya telefon handphone awak tapi awak off. Kalau awak tak off pun, awak tak angkat phone call dari saya. Saya hantar berpuluh-puluh mesej pada awak tapi satu pun tak berbalas. Saya tetap menunggu awak tapi tak pernah sekali pun awak pulang. Saya rayu awak pulang setiap hari tapi hampa.
Awak terus hilang. Saya pernah pergi ke rumah awak tapi Ibu awak tanya kenapa dah lama tak datang. Maksudnya awak tak pernah datang ke rumah Ibu. Bila saya telefon office awak, semua orang cakap yang awak dah lama tak datang bekerja. Mana awak pergi? Tiga bulan awak menghilang entah ke mana. Mahu tak mahu saya terpaksa menebalkan muka memberitahu Ibu. Tapi saya tak beritahu sebab awak tinggalkan rumah. Saya terpaksa menipu mengatakan yang saya bersalah. Betul ke saya yang salah, awak? Menyerahkan sesuatu yang halal untuk awak salah ke? Berdosa ke saya?
Tiap malam saya berdoa agar awak kembali tapi ALLAH tak makbulkan doa saya. Mungkin benar saya berdoa sebab buat awak marah. Saya tetap setia menunggu kepulangan awak. Hampir empat bulan digantung tak bertali, kesabaran saya mula hilang. Saya tak sanggup menunggu lagi. Yang paling saya sedih, saat tu saya dapat rasakan kewujudan satu nyawa lain dalam tubuh saya. Saya menangis teresak-esak bila disahkan berbadan dua. Saya tau awak mesti bencikan saya. Saya berfikir panjang. Akhirnya saya mengambil keputusan untuk pergi jauh.
Saya hantar mesej pada awak. Saya tak tau awak baca mesej itu atau tak. Dalam mesej tu, saya beritahu awak yang saya akan pergi jauh. Ikatan perkahwinan ini terpulang pada awak untuk tentukan. Jika awak sudah tak sanggup menerima diri saya, saya rela dilepaskan. Saya berjanji pada awak yang saya akan sentiasa menjaga diri saya dengan baik. Saya juga mohon maaf sebab buatkan hidup awak merana selama ni. Tapi saya tak perna tahu apa-apa tentang wasiat nenek awak. Saya tak tau macam mana nenek awak kenal saya.
Saya tak tau apa-apa! Saya tak sebutkan tentang anak kita langsung. Saya tak mahu awak membenci anak kita. Jika awak tak mahu menerima dia, biarlah! Saya sendiri akan menjaganya. Dan dia akan tetap tahu bahawa awaklah ayahnya. Dengan air mata yang tak berhenti mengalir, saya berpindah ke Pulau Pinang. Membina hidup baru bukanlah mudah. Dengan wang yang saya simpan sebelum berkahwin dengan awak, saya tanggung hidup saya sendiri. Saya cuba sedaya upaya untuk melupakan awak. Setiap hari bila kandungan saya semakin membesar, saya akan menangis.
Bukan kerana saya tak gembira. Bayi ini satu-satunya cahaya cinta saya. Saya menangis sebab saya rindukan awak. Cukup 9 bulan, saya lahirkan anak kita. Awak percaya tak yang saya lahirkan dia sendirian? Tak ada doctor atau jururawat yang menemani saya. Saya bertarung nyawa sendirian semata-mata untuk melahirkan anak kita. Seksa sangat waktu tu. Saya seakan ternampak semua dosa saya selama ni. Lima bulan selepas saya melahirkan anak kita, awak datang. Luruh jantung saya ketika berhadapan dengan awak.
Mata awak berair bila berjumpa dengan saya. Awak terus peluk tubuh saya. Saya membiarkan. Air mata saya mengalir. Awak mohon maaf pada saya. Awak bersungguh-sungguh mohon kemaafan pada saya tapi saya membatukan diri. Badan saya tak dapat bergerak, awak! Saya seakan tak ada kawalan terhadap badan saya sendiri. Saya biarkan awak menangis di hadapan saya. Saya menangis tapi lidah saya kelu. Saya tak dapat nak berbicara dengan awak. Hanya ALLAH yang tahu betapa saya rindu untuk melihat wajah awak.
"Maafkan saya. Saya tahu saya salah. Saya mohon ampun dari Ariana! Maafkan saya! Saya mohon ampun! Maafkan saya, Ariana!" Saya tak tau, awak … Saya tak tau sama ada saya boleh maafkan awak setelah apa yang awak buat pada saya … Saya tau awak tau yang saya Rie … Mama pernah datang beritahu yang awak datang ke rumah dan ternampak tudung putih pemberian awak dulu. Bukan itu saja. Semua gambar awak yang saya simpan selama ini juga dia tahu. Saya tak tau sama ada saya harus bersyukur atau tidak. Hati saya dah mati .
Awak menangis di hadapan saya tanpa henti. Berkali-kali awak panggil nama saya tapi saya tetap diamkan diri. Air mata saya menitis tapi saya tak dapat nak kesat air mata tu! Saya rasa saya dah mati, awak! Saya gagahkan diri untuk bangun dan dengan segala kekuatan, saya cium tangan awak, saya minta ampun atas semua dosa saya dan saya minta awak lepaskan saya. Kemudian saya tolak awak keluar dari bilik saya. Saya kunci pintu bilik walaupun awak ketuk pintu bilik saya dengan kuat. Meskipun awak menjeritkan nama saya.
Tapi sudahlah, hati saya dah mati untuk awak. Entahlah, Susah untuk saya maafkan awak walaupun saya tau bukan salah awak anak kita tak sempat membuka mata untuk melihat dunia ini … Biarlah semuanya berlalu. Saya hanya mahu abdikan diri saya sepenuhnya pada ALLAH untuk memohon keampunanNya.
Friday, March 6, 2009
Saya Mahukan Wanita Solehah
Saya Mahukan Wanita Solehah
www.iluvislam.com
www.iluvislam.com
Mohd Dzul Khairi Mohd Noor
EditOr: mawaryangtinggi
EditOr: mawaryangtinggi
“Saya mahukan wanita solehah, bu. Saya harap bu dapat carikan saya seorang wanita solehah yang akan mendampingi hidup saya, menghirup kesusahan dan kesenangan bersama saya,” bilang saya pada ibu saya satu ketika. Masing-masing mempunyai definisi tersendiri tentang wanita solehah, saya juga tidak terlepas. Seperti itu jugalah setiap orang mempunyai definisi citarasa tersendiri tentang kecantikan. Yang pasti, lelaki mahukan wanita yang solehah yang mampu menempuh kehidupan bersama dan begitulah sebaliknya. Solehah itu bukan pada nama atau rupa, tetapi hati dan budi.
Solehah itu bukannya nampak pada mata tetapi nur dan sinarnya tersimbah di wajah. Yang solehah, pasti akan ternampak pada wajahnya lambang kesolehan. Tidakkah benar pernyataan saya?. Tidak usahlah kita susah-susah dan payah-payah mencari definisi huruf demi huruf untuk menarik perhatian. S untuk Solehah. O untuk Obama. L untuk Lembut, bukannya lembu. H untuk Hembusan Kewangian. A untuk Agama dan H untuk Hantu. Usah didefinisikan sebegitu. Ia bukanlah satu perkara yang menarik pun.
Yang jelasnya, solehah ialah satu simbolik kepada seorang wanita yang mencurahkan keimanan kepada Allah dan Rasul-Nya sepenuh hati. Perasaan keimanan itu menyeluruhi seluruh ruang hidupnya sehingga meletakkan ia dalam ruang ketaqwaan dan peribadatan yang hakiki. Tanda solehah itu ada beberapa antaranya:
1) Menjadikan Allah dan Rasul sebagai keutamaan. Antara petandanya ialah, mereka selera beribadat dan mereka tidak menghalang suami mereka daripada menjalankan gerak kerja dakwah meskipun menyempitkan ruang untuk bersama.
2) Mentaati suami dengan mengasihinya segenap perasaan, menasihatinya jika tersilap dengan penuh kebijaksanaan, mendokong suaminya serta sentiasa memberikan motivasi selain mengingati perkara-perkara penting dalam kehidupan suaminya seperti tarikh lahir.
3) Menjadikan gerak kerja membawa Islam sebagai resepi kejayaan rumah tangga.
4) Meletakkan nawaitu untuk melahirkan anak yang bakal menyibukkan diri dengan amal Islami. Disebabkan itulah pemimpin Palestin menyebut, “Kekuatan kami ialah rahim-rahim isteri kami”.
“Macam mana kamu nak orang solehah sedangkan kamu kerja pun tak ada. Ada ke orang nak kat kamu yang kerja takde ni?” tanya ibu, sinis sekali. Saya terpukul dan membantutkan hujjah saya buat seketika. Namun hanya seketika. Saya menerawang berfikir. Ibu seorang kakitangan kerajaan. Mungkin sejak saya dalam kandungan lagi ibu berpesan sambil mengusap perut, “Ngah, bila besar nanti, kena kerja kerajaan”. Aduh, berat sekali untuk berdepan dengan kehendak ibu yang mendesak sebegitu. “Nanti tok Qadhi tanya kerja apa, ha..nak kahwin macam mana?” Begitulah bilang ibu.
Saya mencari-cari. Mengintai-intai mana-mana muslimat yang kuat. Ada yang mahukan suami yang pandai buat roti canai. Ada yang mahu suami yang kerja tetap. Ada yang mahu menurut kehendak ibu bapa sahaja. Ada yang mahu senegeri. Ada yang mahu sebaya, tidak kurang juga yang mahukan yang lebih tua. Ada yang mahu suami yang prihatin dan mengambil berat. Ada yang mahukan keromantikan. “Ada tak yang mahu orang yang tidak bekerja dengan kerajaan macam ana?” tanya saya kepada seorang sahabat akhawat satu ketika. “Jadi, ustaz kerja apa? Takkan nak bagi dia makan pasir?” Tanya balik akhawat tersebut. Ish, banyak songeh betul. Orang tanya, bukan nak jawab. Dipukulnya pula saya dengan persoalan itu. Aduh, peritnya. “Ustazah, ana meniaga,” balas ana balik. “Ustaz meniaga apa? Miskin je nampak,” Ish, budak ni. Memang nak kena. Aku luku sekali baru tahu. Kata saya dalam hati. "Awat ustazah banyak sangat tanya ni ? Ke ustazah yang nak kat ana ?” Saya bagi buah kilas sekali. Terus dia terdiam dan, dot, dot, doooot. Fuh, malu la tu. Gerutu hati saya.
Saya berniaga dengan Allah. Biarlah Allah yang membalas segala usaha saya. Saya tidak gemar bekerja dengan manusia yang banyak protokolnya. Saya bukan semacam ibu. Malah saya berbeza dengan kakak Sarah yang rajin bekerja. Adik-adik saya sinis berkata, “Ada orang tu, dapat kerja tapi tolak, kuikui,”. Apapun, saya masih mengembara mencari wanita solehah. Yang sanggup menghirup kesusahan bersama saya, terbang mencari ampunan Illahi melalui gerak kerja Islam. Ahhh..saya mahukan wanita solehah, tolonglah! Kenapa saya mahukan wanita solehah? Kerana saya mahukan hidup saya bahagia. Saya tidak pentingkan yang romantik kerana cukuplah saya yang romantik. Saya tidak mahukan yang kaya-raya kerana saya sudah terbiasa dengan kesusahan. Saya hanya mahukan Solehah. Ops.. maaf tersilap. Bukan saya mahukan Solehah tetapi mahukan yang solehah.
“Ustaz Mi, bagaimana caranya mahu mendapatkan wanita solehah. Saya ingin menjadikannya teman berbicara tentang ilmu, teman seperibadatan, teman yang berkongsi perasaan dan permasalahan. Bagaimana caranya Ustaz Mi?” tanya saya kepada sahabat saya Azmi satu ketika. Walhal, Azmi sendiri teraba-raba mencari wanita solehah. “Enta ni Dzul. Enta nak orang solehah, tapi enta pula entah apa-apa. Macam mana enta nak orang solehah kalau macam ni?” Aduh, saya terpukul sehingga kelebam-lebaman dibuatnya.
Pesanan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
Pesanan Rasulullah SAW Terhadap Wanita
www.iluvislam.com
Oleh:Nuur57
Editor: NuurZaffan
www.iluvislam.com
Oleh:Nuur57
Editor: NuurZaffan
1) Dunia ini ialah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan ialah wanita (isteri) yang solehah. (Riwayat Muslim).
2) Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)
3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.
4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).
5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)
6) Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).
7) Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).
8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.
9) Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.
10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.
11) Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.
12) Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.
13) Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).
2) Mana-mana perempuan yang memakai bau-bauan kemudian ia keluar melintasi kaum lelaki ajnabi, agar mereka mencium bau harumnya maka ia adalah perempuan zina,dan tiap-tiap mata yang memandang itu adalah zina. (Riwayat Ahmad, Thabarani dan Hakim)
3) Dikahwini wanita itu kerana empat perkara: kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikannya dan kerana agamanya, maka carilah yang kuat beragama nescaya kamu beruntung.
4) Wanita apabila ia sembahyang lima waktu, puasa sebulan Ramadhan, memelihara kehormatan serta taat pada suami, maka masuklah mana-mana pintu syurga yang ia kehendaki. (Riwayat dari Ahmad Ibnu Hibban, Thabarani, Anas bin Malik).
5) Perempuan yang melabuhkan pakaian dalam keadaaan berhias bukan untuk suaminya dan muhrimnya adalah seumpama gelap gelita di hari kiamat, tiada nur baginya. (Riwayat Tarmizi)
6) Apabila lari seorang wanita dari rumah suaminya, tidak diterima sembahyangnya, sehingga ia kembali dan menghulurkan tangan kepada suaminya (meminta maaf). (Riwayat dari Hassan).
7) Wanita yang taat pada suami, semua burung-burung di udara, ikan diair, malaikat di langit, matahari dan bulan semuanya beristigfar baginya selama ia masih taat pada suaminya dan diredainya (serta menjaga sembahyang dan puasanya).
8) Dari Muaz bin Jabal bersabda Rasululllah SAW: Mana-mana wanita yang berdiri di atas kakinya membakar roti untuk suaminya hingga muka dan tangannya kepanasan oleh api, maka diharamkan muka dan tangannya dari bakaran api neraka.
9) Tiap-tiap wanita yang menolong suaminya di dalam urusan agama, maka Allah memasukkanya dalam syurga lebih dahulu dari suaminya (sepuluh ribu tahun) kerana dia memuliakan suaminya di dunia maka mendapat pakaian dan bau-bauan syurga untuk turun ke mahligai suaminya dan mengadapnya.
10) Ya Fatimah, jika seorang wanita meminyakkan rambut suaminya dan janggutnya dan memotong kumisnya dan mengerat kukunya, diberi minum Allah akan dia sungai syurga, diiringi Allah baginya sakaratul maut dan akan didapati kuburnya menjadi sebuah taman dari taman-taman syurga serta dicatatkan Allah baginya kelepasan dari neraka dan selamatlah ia melintasi titian Siratul-mustaqim.
11) Mana-mana wanita yang berkata kepada suaminya "tidak pernah aku dapat dari engkau satu kebajikan pun". Maka Allah akan hapuskan amalannya selama 70 tahun, walaupun ia berpuasa siang hari dan beribadah pada malamnya.
12) Apabila wanita mengandung janin dalam rahimnya, maka beristighfarlah para malaikat untuknya, Allah mencatatkan baginya setiap hari seribu kebajikan dan menghapus baginya seribu kejahatan.
13) Apabila wanita mulai sakit untuk bersalin, Allah mencatatkan baginya pahala orang yang berjihad pada jalan Allah (perang sabil).
14) Apabila wanita melahirkan anak keluarlah dosa-dosa darinya seperti keadaan ibunya melahirkannya.
MULIANYA HATI SEORANG ANAK
MULIANYA HATI SEORANG ANAK
Lapang benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter Pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan ibadah fardhu haji pada tahun ini.
“Tapi pak cik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu ringgit lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat,” beritahu pegawai itu lagi. “Insya’Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera,” janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya. Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji, dia terus balik ke rumah.
“Pah….. Ooo….. Pah!” teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya.
“Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?” tanya Mak Pah.
“Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ni akan tertunai. Insya’Allah, dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai,”
cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri.
“Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai.”
“Betullah Pah oii…….. saya ni baru je balik dari Pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itupun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu.” Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
“Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja.”
Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak-anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya.
“Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik, boleh kita berunding,” cadang Pak Uwei.
“Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti, nak ke Mekah minta duit anak-anak.” Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei.
“Pah…. Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh, lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni.” Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya.
“Tapi bang………..”
“Dahlah…… pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu,”
pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya. Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang, kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya.
“Insya’Allah, Kis balik nanti Abah. Ermm! Abah nak Kis suruh Intan balik sama?” tanya Balkis.
“Ikut suka kaulah, bagi Abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya….,” balas Pak Uwei.
Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya, tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan denga Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar, tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang, mereka bertengkar besar tiga tahun lalu. Kini hubungan mereka seperti orang asing.
“Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi.” Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang.
“Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram.” Bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei.
“Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?”
“Itulah Abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat Abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh Abah.” Intan cuba membuat Abahnya faham.
“Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu, tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!”
“Intan memang tak sama dengan Kak Balkis, Abah. Intan suka berterus-terang, kalau tak kena Intan cakap depan-depan, bukan membebel kat belakang,” balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada Abahnya.
“Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi….. aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.”
“Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!” Sejak kejadian itu, Pak Uwei memang tidak mempedulikan langsung apa yang Intan nak buat. Namun begitu, Intan tetap pulang setiap kali cuti. Dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak mempedulikannya.
Intan selalu menghulur duit, tapi hanya kepada maknya sahaja. Riang hati Pak Uwei bukan kepalang bila anak-anaknya pulang, tambahan pula dia sudah rindu dengan cucu-cucunya. Malam itu, selesai menikmati makan malam dan berjemaah sembahyang Isyak, mereka duduk berborak di ruang tamu.
“Sebenarnya ayah suruh kau orang balik ni ada hajat sikit,” Pak Uwei memulakan bicara.
“Hajat apa pula Abah?” tanya Muaz yang duduk di sebelahnya.
“Abah dan Mak kau nak ke Mekah, nama dah ada dalam senarai. Memandangkan bahagian Mak kau masih belum cukup lagi, abah nak minta kau dan Balkis bantu sikit. Tak banyak, dua ribu seorang cukuplah,” Pak Uwei mengutarakan hasratnya.
“Boleh tu boleh Abah, tapi kena tunggu sebulan dua lagi. Az baru je keluarkan wang simpanan buat duit muka beli rumah. Sebulan dua lagi bolehlah Az ikhtiarkan,” ujar Muaz.
“Tapi…… Pegawai Tabung Haji tu minta bayaran dibuat segera selewat-lewatnya minggu depan.”
“Kalau dalam seminggu dua ni Abah, memang rasanya tak dapat. Paling tidak pun cukup bulan ni. Nak cukupkan duit muka tu pun habis duit simpanan budak-budak ni Az keluarkan,” jawab Muaz serba salah.
“Kau beli rumah lagi, rumah yang ada tu kau nak buat apa?” tanya Pak Uwei melindungi kekecewaannya.
“Rumah baru tu besar sikit Abah. Selesalah buat kami sebab budak-budak tu pun dah besar, masing-masing nak bilik sendiri. Lagipun beli rumah tak rugi Abah, pelaburan masa depan juga,” sampuk Mira isteri Muaz.
Pak Uwei terdiam, harapannya kini cuma pada Balkis. “Kamu macam mana Kis, boleh tolong Abah? Nanti Abah bayarlah balik duit kamu tu bila ada rezeki berbuah durian kat dusun kita tu nanti,” Pak Uwei berpaling pada Balkis.
“Kis pun rasanya tak dapat nak tolong Abah. Kis baru aje keluarkan duit simpanan buat menambah modal perniagaan Abang Man. Tengah gawat ni faham ajelah…… ni tak lama lagi nak bersalin nak pakai duit lagi.” Hancur berderai rasa hati Pak Uwei mendengar jawapan Balkis.
“Man bukan tak nak tolong Abah. Kalau nak pinjam duit kad kredit boleh. Tapi yelah, kata orang kalau nak ke Mekah ni tak elok pakai duit pinjaman.”
“Betul kata Man tu Abah. Kalau nak ke Mekah mesti dengan kemampuan sendiri baru elok,” sokong Muaz. Kata-kata Azman dan Muaz bagaikan sembilu yang menikam dada Pak Uwei. Bila dia bertemu pandang dengan Intan, Pak Uwei terasa bagai ditertawakan oleh Intan bila kedua anak yang diharap-harapkan menghampakannya.
“Tak apalah kalau kau orang tak ada duit. Biarlah Abah kau pergi seorang dulu, nanti kalau ada rezeki, Mak pula pergi,” Mak Pah bersuara cuba meredakan keadaan.
“Kalau nak pergi sendiri dah lama saya pergi Pah. Tak payah saya tunggu lama-lama. Kalau Awak tak pergi, biarlah kita sama-sama tak pergi….. dah tak ada rezeki kita nak buat macam mana?” Pak Uwei bangun masuk ke bilik meninggalkan anak-anaknya dengan rasa kesal.
Intan tahu Abahnya benar-benar kecewa. Walaupun orang tua itu tidak menunjukkan rasa kecewanya, tapi Intan faham kecewa Abahnya teramat sangat kerana tidak menduga anak-anak yang selama ini disanjung akan mengecewakannya begitu.
“Anak awak tu tak balik ke?” tanya Pak Uwei pada Mak Pah bila Intan tidak turut serta balik bersama dengan abang dan kakaknya.
“Tak, katanya cuti sampai hari Rabu nanti,” balas Mak Pah sambil mencapai kain selendangnya.
“Nak ke mana pulak tu?” tanya Pak Uwei melihat Mak Pah bersiap-siap.
“Nak ke kedai Long Semah tu nak belikan anak saya kuih lepat ubi kegemarannya.” Sengaja Mak Pah menekan suara bila menyebutnya anaknya. Bukan sekali dua dia menegur sikap Pak Uwei yang gemar membeza-bezakan anak. Pagi Isnin itu selepas bersarapan, Intan bersiap-siap hendak keluar.
“Nak ke mana Intan pagi-pagi dah bersiap ni?”
“Intan ada hal sikit kat bandar mak. Intan pergi dulu ye.”
“Kalau nak ke bandar suruhlah Abah kau tu hantarkan,” suruh Mak Pah.
“Tak payah mak, Intan nak pergi banyak tempat ni. Nanti bising pula Abah tu. Intan pergi dulu.” Mak Pah menggeleng memerhatikan Intan berlalu. Kadangkala sedih hatinya melihat sikap suaminya yang keras hati membuat anaknya itu menyisihkan diri.
Ketika Intan pulang dari bandar tengah hari itu, mak dan abahnya sedang menikmati juadah tengah hari.
“Kau ni Tan buat benda apa lama benar kat bandar tu? Mari makan sama. Ni Abah kau ada beli ikan baung salai, mak masak lemak cili api.”
“Ingat lagi Abah lauk kegemaran Intan rupanya,” usik Intan tak bertangguh mencapai pinggan.
“Mak Bapak memang tak pernah lupakan anak-anak, cuma anak-anak aje yang lupakan mak bapak,” jawap Pak Uwei sinis. Intan tersenyum pahit. Selesai mengemas pinggan mangkuk, Intan menunaikan solat Zohor, kemudian dia mendapatkan mak dan abahnya yang sedang duduk di ruang tamu. Abahnya sedan membaca suratkhabar. Mak Pah pula melipat kain.
“Mak, Abah….. Intan ada hal sikit nak cakap ni….,” ujar Intan menghampiri mereka. Pak Uwei menurunkan suratkhabar yang dipegangnya., kemudian menanggalkan cermin mata yang digunakan untuk membaca.
“Apa hal….. kamu nak kahwin ke?” soal Pak Uwei merenung Intan. Tawa Intan meledak tiba-tiba mendengar soalan abahnya. Melihat Intan tergelak besar, Pak Uwei turut tertawa. Mak Pah pun tergelak sama, riang rasa hatinya melihat kemesraan yang hilang dulu mula menyatu.
“Abah ni…… ke situ pulak….”
“Habis tu?”
“Ini….. kad Tabung Haji Mak. Tadi Intan ambil dalam laci tu. Yang ini resit memasukkan duit ke akaun Mak. Semuanya Intan dah uruskan. Dan ini dua ribu untuk buat duit kocek Mak dan Abah. Yang dua ratus lagi ni untuk buat kenduri doa selamat sebelum berangkat nanti.” Intan memasukkan duit itu dalam genggaman Pak Uwei.
“Apa???” Pak Uwei terkejut. Matanya merenung Intan dan duit ditangannya bagai tidak percaya.
“Ini duit simpanan Intan sejak mula bekerja dulu. Duit hasil titik peluh Intan yang halal Abah, terimalah. Selama ini Intan banyak kali kecewakan Abah. Intan tak pernah dapat membahagiakan hati Abah. Selama ini pun Intan selalu sangat rasa kalah pada Abang Az dan Kak Balkis. Intan tak cantik dan baik macam Kak Balkis, apatah lagi bijak seperti mereka. Intan tahu Abah selalu kecewa dengan Intan. Hanya kali ini Intan dapat tunaikan hasrat Abah.”
“Dah banyak kali Abah tangguhkan hasrat nak naik haji. Dulu kerana Kak Balkis nak kahwin, lepas tu mak pulak tak sihat. Sekarang ni masa yang sesuai. Intan harap Abah sudi terima pemberian Intan,” tutur Intan perlahan memerhatikan air mata menuruni pipi abahnya yang sudah berkedut dimamah usia.
“Terima kasih Intan. Malu rasanya Abah nak ambil duit kamu…… dulu Abah selalu bangga dengan Balkis dan Muaz yang memegang jawatan tinggi, tapi akhirnya anak Abah yang kerja kilang yang membantu Abah,” luah Pak Uwei sambil mengesat air mata terharu atas keluhuran hati anak yang selama ini dimusuhinya.
“Sudahlah Abah. Yang lepas itu tak usahlah kita ungkit-ungkit lagi. Intan gembira Abah sudi terima pemberian Intan.”
“Pemberian kau ni terlalu terlerai bagi Abah dan Mak kau Intan….,” ujar Pak Uwei. Intan peluk abahnya erat.
“Hah……tulah, jangan suka memperkecil-kecilkan anak saya ni,” Mak Pah mengusik Pak Uwei sambil mengesat air mata penuh kesyukuran.
“Mak ni…..,” gelak Intan memandang abahnya yang tersengih. Masa yang ditunggu-tunggu tiba dalam keriuhan sanak saudara yang datang menziarahi Pak Uwei dan Mak Pah. Intan memerhati dengan perasaan gembira bercampur hiba.
“Semua dah siap ke Mak?” tanya Intan menjenguk ke bilik emaknya memerhatikan Mak Pah mengisi barang keperluan semasa di Mekah.
“Dah rasanya…… ada apa-apa yang Intan nak pesan Mak belikan di sana nanti?”
“Tak ada mak. Mak janganlah fikir soal apa yang nak dibeli Mak. Yang penting Mak dapat menunaikan ibadah dengan sempurna.”
“Hah! Awak dengan tu…. Kita ni nak pergi menunaikan ibadah, bukan nak membeli-belah,” tambah Pak Uwei yang turut mendengar perbualan dua beranak itu.
“Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat,” pesan Intan sambil memeluk emaknya. Mak Pah dan Pak Uwei berpandangan. Tiba-tiba sebak dengan permintaan Intan itu.
Hanya dua jam lagi kapal terbang akan mendarat di tanah air. Pak Uwei mengerling Mak Pah yang lena di sebelahnya. Dalam keriangan telah menunaikan ibadah haji tanpa sebarang kesulitan, terselit rasa tidak sedap di hati. Perasaan rindu pada anak-anak terutamanya Intan bagai menyentap tangkai hatinya. Pak Uwei terkenangkan mimpinya bertemu Intan di Tanah Suci. Intan tidak berkata sepatah pun, tapi bagai memberitahu yang dia akan pergi jauh.
“Kenapa resah aje ni Bang?” Mak Pah terjaga.
“Entahlah Pah, saya teringat sangat dengan Intan dan anak-anak kita.”
“Sabarlah, dah nak sampai dah ni,” pujuk Mak Pah. Dari jauh lagi Pak Uwei sudah melihat Muaz dan Azman menanti mereka.
“Mak….. Abah…..,” Muaz meraih emaknya dalam pelukan dan kemudian abahnya tanpa dapat menahan air mata menitis laju.
“Mana yang lain ni, kamu berdua aje?” Pak Uwei tertinjau-tinjau mencari wajah Intan.
“Mereka menanti di rumah, Abah,” beritahu Azman suami Balkis sambil mencium tangan Pak Uwei.
“Intan pun tak datang juga ke?” tanya Pak Uwei terasa hampa.
“Awak ni….. kan Man dah kata mereka menunggu di rumah.” Mak Pah menggeleng, dua tiga hari ni nama Intan tak terlepas dari mulut suaminya. Perjalanan tiga jam dari KLIA untuk sampai ke rumah terasa begitu lama oleh Pak Uwei. Mak Pah yang melihat kegelisahan suaminya turut berasa bagai ada yang tak kena.
“Dua tiga malam sebelum balik, Abah kau mengigau terjerit-jerit dia panggil nama Intan. Kalau Intan dengar cerita ni tentu dia gelihati.” cerita Mak Pah pada Muaz dan Azman. Muaz mengerling Azman yang sedang memandu.
“Tentulah Abah ingatkan Intan, sebab Intan yang bagi dia duit,” balas Muaz cuba bergurau walaupun terasa sayu.
“Tapi Abah rasa macam ada yang tak kena aje Az, dalam mimpi Abah tu, Abah nampak Intan macam nak beritahu dia nak pergi jauh. Tapi dia tak bercakap pun, hanya renung Abah. Intan tak ada cakap apa-apa dengan kau Az?”
“Err….. tak ada Abah. Kita berhenti minum dulu Abah, tentu Mak haus,” ajak Azman.
“Tak payah, dah dekat ni. Abah tak sabar nak balik,” tolak Pak Uwei. Azman dan Muaz hanya berpandangan. Sebaik turun dari kereta, Balkis meluru memeluk mereka dengan tangisan. Suara Pak Long Basri yang bertakbir menambah sayu. Semua yang ada menitiskan air mata.
“Mak dengan Abah sihat ke?” tanya Mira setelah bersalaman dengan ibubapa mentuanya.
“Sihat, cuma batuk-batuk aje sikit. Intan mana, dia tak balik ke?” Mak Pah mula berdebar bila Intan tidak kelihatan.
“Naik dulu Ngahnya…….,” suruh Long Semah.
“Intan mana?” Pak Uwei mula hilang sabar bila tak seorang pun memberitahu di mana Intan. Pantas dia memanjat tangga menuju ke bilik Intan. Matanya terpaku pada bekas baru yang terletak di sebelah katil yang bercadar kain batik lepas. Dadanya bergetar.
“Az….. mana Intan? Mana adik kau Az?” tanya Pak Uwei dengan suara yang menggeletar. Badannya terasa lemah, dia berpaut pada tepi pintu.
“Sabar Abah….,” Muaz menggosok belakang abahnya.
“Kenapa Az…….. kenapa?” Mak Pah menurunkan Syazwan, cucunya dari pangkuan dan melangkah laju ke bilik Intan.
“Mak…. Intan dah tak ada Mak,” Balkis tersedu memeluk emaknya yang terduduk lemah. Pak Uwei terkulai tak bermaya menerima berita itu. Mak Pah terus pengsan. Bila dia terjaga dia melihat anak menantu menglilinginya. Pak Uwei duduk di tepi kepalanya.
“Sabarlah Ngah, ini dugaan Allah pada kita. Intan pergi pun dalam keadaan tenang. Barangkali kerana hajatnya nak lihat kamu naik haji dah tertunai,” pujuk Long Semah yang masih belum pulang.
“Intan ada tinggalkan surat untuk kita. Dia memang dah tahu dia tak akan hidup lama. Rupa-rupanya dia menghidap barah otak. Dia minta maaf segala salah silap dan berpesan supaya kita jangan sedih atas pemergiannya. Dia minta kita doakan dia,” Pak Uwei menepuk lembut bahu Mak Pah yang tersedu.
“Bila dia meninggal? Siapa yang mengadap masa nazaknya?” tanya Mak Pah.
“Kami semua ada Mak. Dia begitu tabah menanti detik kematiannya Mak. Sebenarnya dia ajak kami balik ini, katanya nak kemaskan rumah. Mak dan Abah nak balik. Masa sampai tu dia sihat lagi, tiba-tiba malam Khamis tu lepas solat Isyak dia sakit kepala teruk sampai tak boleh bangun. Az nak hantar ke hospital, tapi katanya masa dia dah tiba. Masa tulah baru dia ceritakan sakitnya. Dia meninggal Subuh hari Jumaat Mak…….. tiga hari lepas. Dia pergi dalam keadaan yang cukup tenang mak,” cerita Muaz. Mak Pah menggenggam erat tangan suaminya, terkenangkan bagaimana Intan memeluk erat mereka sebelum melepaskan pemergian mereka.
Dan ketika itu bagai terdengar-dengar suara Intan berpesan, “Intan tak nak Mak dan Abah belikan satu apa pun dari sana. Hanya satu yang Intan mahu, Mak dan Abah doakan Intan bahagia di dunia dan akhirat…..”
“Islam pada mulanya terasing, dan ia akan kembali terasing, maka berbahagialah kiranya bagi yang terasing”
Subscribe to:
Posts (Atom)