IBADAH Menuntut Ilmu Kepentingan Ilmu Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-Bazzar
Monday, April 25, 2011
Perpaduan Antara Kaum Semakin Goyah
Dari pemerhatian saya selama beberapa tahun yang terdekat ni, saya dapati masalah perkauman di negara kita semakin meruncing. Makin hari makin teruk, semangat perpaduan yang sangat kukuh antara rakyat negara kita suatu ketika dahulu semakin goyah. Kenapa perkara sebegini boleh berlaku? Dimanakah peranan mereka-mereka yang bertanggungjawab dalam menyatupadukan seluruh kaum di Malaysia?
Saya masih ingat pada tahun 1998, waktu itu saya bersekolah di Sekolah Rendah Sultan Yahya Petra I, pelbagai kaum yang bersekolah di sana, kami semua berkawan rapat tak kira kaum Cina, India dan Melayu. Tiada sebarang masalah perkauman yang wujud antara kami masa itu. Begitu kukuh ikatan perpaduan antara kaum ketika itu, seolah-olah kami seperti saudara-mara. Boleh bermain bersama-sama, belajar bersama-sama dan lain-lain lagi.
Kenangan yang sangat manis, walaupun sudah lama masa berlalu, tapi saya masih ingat rupa kawan-kawan pelbagai kaum ketika itu. Cuma mungkin saya tak berapa ingat nama-nama mereka. Itu cerita semasa sekolah rendah.
Lagi cerita semasa saya menjalani latihan Program Latihan Khidmat Negara(PLKN) di Kem D'Jelapang Padi, Kubang Pasu, Kedah. Di sana saya sangat rapat dengan kawan-kawan kaum India, Cina dan Melayu. Masih tiada sebarang isu-isu perkauman ketika itu. Tak silap saya masa tu tahun 2006, hanya 5 tahun yang lepas. Dalam masa beberapa tahun ni banyak perkara yang berubah. Termasuk keadaan politik negara yang semakin membimbangkan. Berbalik kepada cerita semasa di PLKN, saya masih ingat sewaktu mula-mula sampai di kem PLKN itu, seorang kawan dari kaum cina yang mula menegur saya. Dia mengajak saya berborak bagi menghilangkan rasa rindu terhadap keluarga yang berada di pantai timur.
Dia seorang yang sangat ceria, sehingga saya terlupa buat seketika rasa rindu pada kampung halaman. Rindu saat-saat indah pada waktu itu, membuatkan saya teringin untuk kembali ke masa silam.
Disana juga saya rapat dengan beberapa kawan kaum india, mereka sangat peramah, malah boleh dikatakan kawan yang baik. Sikap prejudis kebanyakan orang sekarang yang sering memandang rendah pada setiap kaum adalah salah dan tidak patut dibiarkan perkara seperti ini menjadi duri dalam daging didalam masyarakat kita yang berbilang kaum ni.
Rakyat Malaysia sepatut bersatu padu bagi memakmurkan negara dan sama-sama memilih pemimpin yang mampu menjalankan tanggungjawab melalui saluran yang betul. Kerana kurangnya keprihatinan kebanyakan masyarakat kita terhadap masalah perpaduan ini menyebabkan satu pihak mempergunakan isu ini sebagai satu cara untuk mengangkat diri mereka sendiri. Walhal mereka hanya melakukan sesuatu demi memenuhi kepentingan diri mereka sendiri tanpa mengambil peduli masalah yang dialami oleh setiap rakyat.
Saya amat tidak menyokong budaya berpuak-puak ini, kerana ianya merugikan kita semua. Kenapa kita tidak bersatu-padu bagi menentang ketidakadilan yang semakin berleluasa di arena politik. Saya bukanlah seorang yang suka dengan politik, kerana bagi saya politik sekarang merupakan punca utama perpaduan antara kaum semakin rapuh. Politik ini juga memecahbelahkan serta memutuskan hubungan silaturahim yang sedia ada.
Sebenarnya bila kita kenal dengan kaum lain-lain ni kita akan tahu sebenarnya mereka ni peramah dan mesra seperti kebanyakan orang kita. Ia adalah kebiasaan dimana ada yang baik, ada juga sesetengah yang tak berapa baik, semua manusia sama sahaja, tiada beza. Yang membezakan seseorang itu ialah macam mana dia melayan orang-orang disekelilingnya.
Saya berharap masalah perpaduan yang semakin rapuh ini dapat diperbaiki demi membina satu negara yang kukuh dari segi sokongan rakyat. Jika masalah ini dapat diatasi, kemungkinan kadar jenayah yang sedia ada dapat dikurangkan. Yang paling penting disini adalah kerjasama antara setiap kaum. Say no to racism, it does not help develop our country but it will make it became worse than before.
Cam berdebat-debik pula. Pemimpin-pemimpin sekarang perlu mencari satu penyelesaian bagi menyetelkan isu ni, duduk satu meja, bukan bertelagah sesama sendiri demi menegakkan perkara yang tidak ada kepentingan kepada rakyat serta pembangunan negara. Amik contoh kepimpinan khulafa' ar-rasyidin. Kenapa nak ikut cara pemerintahan sekular yang diamalkan oleh barat. Sedangkan kita ada contoh kepimpinan khalifah-khalifah dizaman kegemilangan Islam. Saya berpendapat sistem pemerintahan khalifah patut diwujudkan semula, perlunya penubuhan majlis syura bagi melantik pemimpin yang berkaliber.
Selagi sistem pemerintahan tidak berubah, amat sukar untuk saya menyokong sistem pemerintahan sekular sekarang. Ia seperti kita membiarkan diri kita dipergunakan oleh barat kerana kita mengguna pakai sistem sekular yang diwujudkan oleh barat.