Wanna Help me? Click Here....(^_^)

Kursus Kompilasi Perniagaan Internet

Surirumah Jutawan

Saturday, January 16, 2010

Kelebihan Vitamin C Dalam Roselle



www.iLuvislam.com
Dihantar Oleh: hpaonline
*
Editor: b_b



Roselle (hibiscus sabdariffa), atau dikenali sebagai pokok asam paya merupakan tumbuhan yang amat tinggi kandungan vitamin C melebihi 20 kali ganda dari yang terdapat dalam keluarga limau (citrus). Vitamin C merupakan anti-oksidan yang terbaik bagi mencegah kerosakan sel hasil dari proses oksidatif dan tindakbalas kimia dalam tubuh. Ia juga sejenis vitamin larut air. Sekiranya diambil berlebihan ia akan dikumuhkan melalui air kencing sahaja.






Roselle tumbuh meliar dengan banyaknya di Sudan. Antara kelebihan Roselle adalah :

1. Anti-penuaan (anti-aging)
Banyak saintis percaya pengambilan Roselle akan melambatkan proses penuaan dan mencegah berlakunya penyakit kronik kerana ia meminimakan kerosakan yang dilakukan oleh radikal bebas.

2. Pencegahan penyakit kardiovaskular
Sakit jantung merupakan pembunuh nombor satu di dunia. Dikenali sebagai ‘the silent killer’. Proses oksidan juga menyebabkan kolesterol LDL1 menebal di arteri2 menyebabkan berlaku kesumbatan arteri. Ini menyebabkan terjadinya penyakit arteriosklerosis3 dan trombosis4 yang membawa maut. Ia juga menjadi punca penyakit tekanan darah tinggi.

3. Pencegahan kanser
Masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan industri terdedah kepada pelbagai pencemaran radiasi, makanan, air dan udara. Risiko terjadinya kanser amat tinggi. Pengambilan Roselle amat baik untuk tujuan pencegahan terutama kanser ‘gastrointestinal’. Mereka yang sering terdedah kepada asap rokok dan pencemaran udara perlu mengambil Roselle sebagai usaha pencegahan penyakit ini.

4. Demam panas dan selsema terutama pada anak-anak kecil
Roselle cepat meredakan panas badan. Daun dan buahnya yang segar boleh dibuat penjaram5, di samping diminum sebagai jus. Rasanya yang masam-masam manis menjadi kegemaran tua dan muda, khasnya anak-anak.

5. Resdung (alergi) dan asma (lelah)
Mempercepatkan proses kesembuhan terutama bersin pagi, mata berair, hidung tersumbat serta gatal-gatal muka adalah menjadi tugas Roselle. Pengambilan bersama herba anti-histamin seperti coscinium plus menambahkan lagi kesan penyembuhan. Roselle juga dipercayai mampu menghilangkan asma serta alergi jika diamalkan berterusan.

6. Stress atau sukar tidur (insomnia)
Stress merupakan masalah rutin masyarakat hari ini. Mereka yang stress kronik perlu mengambil 4–5 biji Roselle setiap hari sebelum tidur. Ia akan bertindak menurunkan suhu badan dan mempengaruhi mood pesakit. Bertindak sebagai ‘penenang’, ia juga mengurangkan dengkur kuat semasa tidur. Roselle juga digunakan sebagai pengubat luka, selepas pembedahan, kecederaan dan lain-lain lagi.


Glosari:
1 Kolesterol LDL - juga dikenali sebagai kolesterol 'jahat'
2 Arteri - saluran darah berotot yang membawa darah keluar dari jantung
3 Arteriosklerosis - penebalan dinding pembuluh nadi dengan akibat hilangnya kelenturan pembuluh nadi
4 Trombosis - penyakit yang disebabkan oleh penggumpalan darah yang terjadi di otak (cerebral stroke) mahupun di jantung (myocardial infaction) yang boleh mengakibatkan kecacatan dan kematian
5 Penjaram - sejenis kuih tradisi suku kaum Bajau di Sabah


Islam Agama Bertoleransi (Ulasan Isu Kalimah Allah)


www.iLuvislam.com
abidfana *
Editor : kasihsayang


Islam adalah agama yang dipenuhi dengan semangat toleransi dengan agama yang lain. Hubungan Islam khususnya dengan agama samawi (ahlul kitab) yang lain, iaitu Kristian dan Yahudi juga mempunyai keistimewaan tersendiri. Dengan sebab itulah kita dibenarkan memakan haiwan sembelihan mereka dan juga Muslim lelaki dibenarkan mengahwini perempuan ahlul kitab.

Akan tetapi, hubungan Islam dengan penganut agama Kristian adalah lebih rapat berbanding dengan penganut agama Yahudi. Fakta ini jelas termaktub di dalam surah al-Maidah ayat 82:

لَتَجِدَنَّ أَشَدَّ ٱلنَّاسِ عَدَاوَةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ ٱلْيَهُودَ وَٱلَّذِينَ أَشْرَكُواْ وَلَتَجِدَنَّ أَقْرَبَهُمْ مَّوَدَّةً لِّلَّذِينَ آمَنُواْ ٱلَّذِينَ قَالُوۤاْ إِنَّا نَصَارَىٰ ذٰلِكَ بِأَنَّ مِنْهُمْ قِسِّيسِينَ وَرُهْبَاناً وَأَنَّهُمْ لاَ يَسْتَكْبِرُونَ

Demi sesungguhnya engkau (Wahai Muhammad) akan dapati manusia yang keras sekali permusuhannya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang Yahudi dan orang-orang musyrik. dan Demi Sesungguhnya Engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” Yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.


Ketika menjelaskan ayat ini, al-Marhum Syeikh Mutawalli Sha’rawi menjelaskan yang kebenaran betapa rapatnya hubungan Kristian dengan Islam dibuktikan sejak zaman awal dakwah nabi Muhammad sendiri. Ketika baginda dan para sahabat dizalimi oleh Quraish Makkah, nabi Muhammad mencadangkan para sahabat untuk menyelamatkan diri buat sementara di bawah pemerintah Habshah bernama Raja al-Najashi yang tebal anutan Kristiannya. Sabda nabi Muhammad:

إن بها ملكاً لا يُظلم عنده أحد فأقيموا ببلاده حتى يجعل الله لكم مخرجاً مما أنتم به

Di sana ada seorang raja yang tidak pernah seorang pun dizalimi olehnya, maka menetapkan kamu di negaranya sehinggalah Alah menjadikan kamu sebab untk keluar darinya.

Beberapa orang sahabat senior di bawah pimpinan Ja’far bin Abu Talib menuruti arahan Nabi Muhammad untuk berhijrah ke sana. Adalah benar, Raja al-Najashi adalah seorang pemerintah Kristian yang adil, dan memberikan hak kebebasan beragama kepada penganut agama lain termasuklah kepada Muslim yang ketika itu baru sahaja muncul kembali di muka bumi. Para sahabat yang tinggal di Habshah disifatkan sebagai tinggal di Dar al-Amn, iaitu bumi yang aman dan selamat, sehingga dicemburui oleh pembesar kafir Quraisy yang lain.

Kedengkian Quraisy menyebabkan mereka sanggup untuk menghasut Raja al-Najashi untuk mengusir Ja’far bin Abu Talib bersama sahabat yang lain. Lalu diutuskanlah Amru bin Al-’As, Abdullah bin Abi Rabi’ah dan ‘Imarah bin al-Walid bin al-Mughirah, dan menaburkan fitnah terhadap imigran Muslim dengan menyatakan mereka adalah pemberontak yang menyeleweng daripada agama nenek moyang mereka. Mereka juga menghasut pemerintah Kristian itu dengan menyatakan yang Islam mengajar fakta yang berbeza dengan Kristian mengenai isu Jesus.

Adakah Raja al-Najashi percaya bulat-bulat dengan hasutan Pertubuhan Musyrikin Mekkah Bersatu itu? Jawapannya tidak sama sekali. Sebaliknya, sebagai manifestasi terhadap keadilan beliau, al-Najashi telah memanggil Ja’far bin Abi Talib untuk memberikan penjelasan. Lalu Ja’far bin Abu Talib menjelaskan,

"Wahai Raja, kami dahulu hidup di dalam Jahiliyyah. Menyembah berhala, makan bangkai, melakukan perbuatan keji, memutus tali persaudaraan, menyakiti hati jiran, yang kuat memakan harta yang lemah. Kami hidup dalam keadaan demikian sehinggalah diutuskan seorang Rasul yang kami ketahui keturunannya, kebenarannya, amanahnya dan kasih sayangnya. Baginda menyeru kami mengesakan dan menyembah Allah dan meninggalkan cara sembahan kami sebelum ini terhadap batu dan berhala. Baginda menyeru kami berkata benar, menunaikan amanah, menyambung tali persaudaraan, berhubung baik dengan jiran …. Akhirnya kami dimusuhi kaum kami sendiri, lantas mereka menyeksa dan memfitnah kami supaya kami kembali menyembah berhala dan berhenti menyembah Allah serta kembali kepada perbuatan keji. Lantas apabila kami dipulau, diseksa dan diboikot oleh mereka, maka keluar berpindah ke negara kamu wahai al-Najashi. Kami memilih kamu berbanding negara atau pemerintah yang lain, kerana kami telah mengharapkan yang diri kami tidak akan dizalimi oleh kamu."

Setelah menyelidik kata-kata Ja’far, serta membuat analisa pandangan Islam terhadap Jesus/Isa, maka Raja al-Najashi tidak langsung mempedulikan hasutan musyrikin Quraish tadi.

Ada beberapa perkara yang wajar kita perhalusi di sebalik penjelasan Ja’far di atas. Yang pertamanya, ialah beliau berdakwah secara halus dan bijaksana kepada orang Kristian tanpa langsung mencari titik perbezaan, akan tetapi mengusahakan noktah persamaan. Sebelum ke UK, saya langsung tidak nampak hikmah di sebalik kata-kata Ja’far ini. Akan tetapi setelah terlibat di dalam program dakwah dengan rakyat tempatan (termasuklah yang atheist dan terutamanya penganut Kristian) dan juga dialog antara agama dengan mereka, barulah saya nampak kehebatan Ja’far. Iaitulah beliau menyebut ‘menghormati jiran’ di dalam penjelasannya, yang mana amalan menghormati jiran ini adalah satu amalan yang paling penting di dalam agama Kristian. Bahkan rakan Kristian saya pernah menyatakan di dalam kepercayaan mereka, dengan hanya menghormati jiran, maka akan mencukupi untuk mendapat kesejahteraan di dalam agama mereka. Dalam banyak-banyak elemen mahmudah yang kecil di dalam Islam, elemen menghormati jiran yang dipilih oleh Ja’far, sebagai membuktikan betapa dalam berdakwah, mencari titik persamaan adalah penting.

Selain itu, kata-kata Ja’far juga membuktikan kebenaran firman Allah mengenai baiknya hubungan Islam dengan Kristian. Nabi Muhammad boleh sahaja mengarahkan para sahabat awal ketika itu untuk mendapatkan perlindungan daripada kabilah bangsa Arab lain yang mungkin bermusuh dengan kabilah Quraisy lantas memungkinkan kedua-dua pihak bersatu atas dasar bermusuh dengan musyrikin Quraisy, akan tetapi bukan itu yang dipilih oleh Nabi. Akan tetapi diarahkan para sahabat untuk bernaung di bawah kerajaan Kristian.

Akrabnya hubungan Islam dan Kristian seperti yang dianjur dan ditunjukkan sendiri oleh Nabi Muhammad menjadi inspirasi kepada pelapis baginda. Di zaman Saidina Umar, empayar Islam telah semakin meluas menjangkaui Semenanjung Tanah Arab. Antara yang berjaya dibuka oleh Saidina Umar ialah Jerusalem, yang ketika itu lebih dikenali sebagai Aeliya’. The Old City of Jerusalem adalah merupakan pusat pemerintahan kerajaan Rom Timur ketika itu. Di situlah letaknya tapak al-Masjid al-Aqsa, dan situ jugalah terletaknya gereja suci Holy Sepulchre. Holy Sepulchere adalah merupakan gereja paling suci di dalam agama Kristian. Di situlah mereka percaya terletaknya ‘kubur’ Jesus, dan di situ jugalah mereka percaya yang Jesus akan dibangkitkan kelak. Semasa Umar membebaskan The Old City of Jerusalem, Holy Sepulchre turut menjadi istana pemerintahan kerajaan Kristian ketika itu. Yang menjadi pemerintah ketika pembebasan Jerusalem ialah Patriarch Sophronious.

Kita mengetahui dalam beberapa akaun sejarah yang Patriarch Sophronious, sama seperti Muslim, cuba untuk mengelakkan berlakunya pertumpahan darah di dalam Jerusalem. Menghidu awal kekalahan Rom Timur, Patriach Sophronious mengibarkan bendera putih menyerah kalah, akan tetapi dengan syarat bahawa beliau hanya menyerahkan kunci kota lama itu kepada Saidina Umar. Ada laporan sejarah menyatakan bahawa pembebasan Jerusalem di tangan Saidina Umar memang telah diramalkan dan termasuk di dalam prophecy Kristian ketika itu.

Penyerahan Jerusalem kepada Muslim dilakukan dalam suasana penuh persaudaraan. Umar dipelawa untuk bersembahyang Asar di dalam Holy Sepulchre. Akan tetapi beliau menolak, kerana khuatir akan ada kelompok Muslim akan datang yang zalim akan merampas gereja suci tersebut, kerana kononnya Umar pernah solat Asar di situ. Lalu Umar bersembahyang di luar Holy Sepulchre, dan di tapak beliau solat itu sekarang didirikan Masjid Umari yang masih berdiri teguh sekarang. Masjid Umari itu didirikan bersebelahan dengan Holy Sepulchre.

Ini adalah keadilan dan toleransi Islam untuk agama lain. Dalam suasana berperang, kita dilarang merampas rumah ibadat orang lain. Apatah lagi di dalam konteks hubungan baik dengan agama Kristian, Umar sejak dari awal menutup pintu yang memungkinkan kelompok Muslim akan datang yang jahil dengan agama sendiri, daripada bertindak zalim terhadap hak agama lain di dalam negara Islam.

Tidak cukup dengan itu, walaupun lama berperang dengan tentera Muslim, akan tetapi tentera dan penduduk asal Kristian di Jerusalem semasa zaman Rom Timur diberikan jaminan oleh Umar untuk tidak dihalau. Bahkan hak kerakyatan mereka dikekalkan, dan mereka diberikan kebebasan menikmati apa yang mereka lakukan semasa pemerintahan Rom Timur dengan syarat yang adil.

Kunci Holy Sepulchre masih dipegang oleh keluarga Muslim


Sepanjang pemerintahan Islam, hubungan Kristian dan Muslim amat rapat di dalam Jerusalem. Mereka turut dilantik menjadi menteri di dalam kabinet ketika itu. Bahkan, percayanya penganut Kristian kepada keadilan Islam terbukti apabila mereka menyerahkan kunci utama Holy Sepulchre untuk dipegang oleh Muslim. Dan tradisi itu diteruskan sehinggalah ke zaman sekarang. Kunci gereja suci itu masih dipegang oleh keluarga Muslim sekarang, diketuai oleh Wajeeh Nusaibah.


Tradisi hubungan baik Kristian-Islam diteruskan sehinggalah ke zaman Khalifah al-Hakim bi Amrillah, salah seorang pemerintah keenam Kerajaan Fatimiyyah. Walaupun dilaporkan yang ibunya adalah seorang penganut Kristian, akan tetapi beliau bersikap zalim terhadap penganut Kristian khususnya di dalam Jerusalem. Antaranya ialah memperkenalkan kod warna pakaian tertentu kepada penganut Kristian, dan kemuncaknya ialah beliau telah memusnahkan Holy Sepulchre sekitar tahun 1009-10 CE (Rujuk kitab Khitat karangan al-Maqrizi).

Kezaliman al-Hakim dijadikan alasan oleh penganut Kristian dari Eropah untuk melancarkan peperangan Salib. Akhirnya Pope Urban II, setelah didesak oleh Alexious I salah seorang pemerintah Rom Timur telah memberikan ucapan/khutbah di Council of Clermont, Perancis kepada penganut Kristian menghalalkan mereka untuk berperang bagi menawan Jerusalem. Tujuannya ialah untuk menyatupadukan penganut Kristian setelah rumah suci mereka dicemari oleh pemerintah Muslim. Perlu dinotakan di sini, baik daripada sumber Kristian atau pun sumber Islam, semua menyatakan yang kebanyakan tentera salib yang menyertai kempen pertama peperangan tersebut terdiri daripada orang susah, terbiar dan tidak berpelajaran.

Sebahagian penganalisa sejarah berpandangan, kempen pertama perang Salib itu diibaratkan seperti orang bodoh yang memerangi orang bodoh. Orang bodoh pertama yang dimaksudkan, ialah tentera salib pada kempen pertama peperangan tersebut. Sementara orang bodoh kedua yang dimaksudkan ialah pemerintahan zalim al-Hakim bi Amrillah. Saya hampir bersetuju dengan pandangan ini. Memang menjadi norma alam, baik dari zaman dahulu sehingga ke zaman sekarang, bahawa ketika bertembungnya dua jenis kebodohan, maka ianya akan diiringi dengan peperangan yang menyeksakan. Saya tidak menyatakan yang peperangan itu semestinya berpunca daripada kebodohan, tidak sama sekali.

Apa yang saya nyatakan di atas ialah sebahagian daripada premis asas kepada pandangan saya terhadap kekalutan yang berlaku di Malaysia sekarang, kerana isu penggunaan kalimah Allah di kalangan penganut Kristian seperti yang telah diputuskan oleh Mahkamah, dan membawa kepada kemuncaknya iaitu pembakaran tiga gereja di sekitar Lembah Klang.

PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH

Isu penggunaan kalimah Allah pada pandangan saya, pada dasar dan asasnya, tidak mempunyai kaitan dengan hukum. Ini kerana di dalam al-Quran dan a-Sunnah, banyak nas yang melaporkan betapa golongan non-Muslim telah menggunakan kalimah Allah sebagai Tuhan mereka. Sebagai contoh, firman Allah di dalam surah al-Ankabut ayat 63:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ نَزَّلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَأَحْيَا بِهِ الأرْضَ مِنْ بَعْدِ مَوْتِهَا لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْقِلُونَ

Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu ia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah“. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak memahami (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Ayat ini diulangi sekali lagi oleh Allah SWT di dalam surah Luqman ayat 25:

وَلَئِنْ سَأَلْتَهُمْ مَنْ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضَ لَيَقُولُنَّ اللَّهُ قُلِ الْحَمْدُ لِلَّهِ بَلْ أَكْثَرُهُمْ لا يَعْلَمُونَ

Dan sesungguhnya jika Engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “Siapakah yang menciptakan langit dan bumi?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian – tidak mengingkari Allah), bahkan kebanyakan mereka tidak mengetahui (hakikat tauhid dan pengertian syirik).

Dua ayat di atas, hanyalah sebahagian contoh beberapa nas syara’ yang memberikan petunjuk tiada larangan kepada non-Muslim menggunakan kalimah Allah sebagai merujuk kepada Tuhan yang bersifat pencipta. Di dalam ilmu aqidah, ini dipanggil sebagai tauhid rububiyyah. Dasarnya, semua manusia di muka bumi ini yakin ada Tuhan yang mencipta dan mengatur alam cakerawala. Cuma yang membezakan Muslim dengan non-Muslim, ialah tauhid uluhiyyah kepercayaan kita terhadap Allah sebagai Tuhan Pencipta Yang Maha Esa. Saya meraikan bahawa terdapat aliran di dalam umat Islam yang bersungguh-sungguh menafikan fakta pembahagian tauhid itu kepada tauhid rububiyyah, uluhiyyah dan asma’ wa sifat, akan tetapi kita ketepikan dahulu perbahasan itu.

Apa yang pasti, kalimah Allah telah digunakan oleh Musyrikin Makkah sebelum nabi Muhammad dilahirkan lagi sebagai merujuk kepada Tuhan yang mencipta alam ini. Perlu dinotakan bahawa mereka tidak pula memanggil berhala-berhala yang mereka persekutukan itu dengan nama Allah, sebaliknya mengekalkan nama-nama berhala itu seperti Lata dan ‘Uzza. Lebih ironi lagi, dalam kedua-dua ayat di atas, Allah memerintahkan nabi Muhammad bersyukur kerana musyrikin ketika itu mengiktiraf Allah sebagai Tuhan Yang Maha Mencipta.

Di negara Arab, kitab injil memang menggunakan perkataan Allah merujuk kepada Tuhan bagi agama Kristian. Bagi anda yang berada di UK, di beberapa tempat seperti di lapangan terbang, universiti dan hospital, ada kalanya premis beribadat dikongsi bersama dengan agama lain. Cuba belek almari buku bilik sembahyang tersebut, kadang-kadang terselit kitab Injil yang menggunakan kalimah Allah merujuk kepada Tuhan mereka. Ada juga yang menggunakan kalimah Allah al-Ab (Allah si Bapa) untuk menunjukkan falsafah triniti di dalam agama Kristian.

Di Borneo, penduduk peribumi di situ dikatakan terlebih dahulu menerima ajakan mubaligh Kristian secara meluas sejak beratus-ratus tahun dahulu. Ada yang menyatakan mubaligh itu kebanyakannya datang dari negara Eropah dan bertutur dalam Bahasa Inggeris, justeru penduduk peribumi Borneo berhadapan dengan masalah belajar agama Kristian kerana masalah bahasa. Lalu diterjemahkanlah Bible ke dalam bahasa Melayu/Indonesia, dipanggil sebagai al-Kitab dan menggunakan kalimah Allah sebagai Tuhan mereka. Bagi Muslim di Semenanjung, kita perlu meraikan yang amalan ini telah mereka lakukan sejak ratusan tahun lamanya, seperti yang dinyatakan oleh seorang penulis di sini.


AGAMA SAMAWI BANYAK PERSAMAAN, WALAUPUN PERBEZAANNYA JUGA BESAR

Ada juga yang melenting ketika isu ini diuar-uarkan, kerana beberapa orang cendiakawan Muslim menggunakan istilah agama samawi merujuk kepada Kristian dan Yahudi. Lentingan ini tiada asas, kerana memang Kristian dan dan Yahudi adalah agama samawi, yang mana sumber asalnya adalah daripada langit. Status agama samawi tidak menjamin seseorang itu masuk syurga, tetapi yang penting ialah kemurniaan agama samawi tersebut. Di dalam Islam, kita percaya yang agama Kristian dan Yahudi telah diubah oleh pendita-pendita mereka. Sumber asal daripada kitab Taurat, Zabur dan Injil telah diubah dan ditulis kembali. Ini adalah kepercayaan Muslim, dan kita dapat lihat besarnya perbezaan kita dengan mereka di dalam hal ini. Penggunaan istilah agama samawi adalah implikasi amalan akademik semata-mata. Istilah lain yang turut digunakan bagi merujuk ketiga-tiga agama ini ialah agama nabi Ibrahim (Abrahamic religion) dan juga agama keEsaan (monotheistic faiths).

Oleh kerana sumbernya sama, maka banyak istilah yang sama dapat dilihat antara ketiga-tiga agama samawi ini. Contoh yang paling ketara ialah isu kalimah Allah ini. Contoh lain pula, ialah nama para nabi dan kisah-kisah mereka. Semuanya mempunyai persamaan. Dalam konteks nama-nama nabi, semuanya berkongsi nama yang sama, kecualilah mereka tidak beriman dengan nabi Muhammad SAW sebagai nabi terakhir.

Anak-anak saya setakat ini semua dilahirkan di Scotland. Baru seorang sahaja yang telah masuk nurseri pra-sekolah, berumur 4 tahun. Menjelang hujung tahun, ketika inilah saya perlu berhati-hati dalam bab menjaga aqidah anak saya, kerana di sekolah hampir setiap hari akan didendangkan dengan pembacaan buku dan lagu yang berkonsepkan triniti. Cikgu-cikgu akan mengajar mengenai Jesus, Christmas Father dan seumpamanya. Kadang-kadang buku cerita mengenai sejarah Adam dan Hawa, kisah perjalanan nabi Ibrahim, peristiwa penyembelihan nabi Ismail dan bahtera nabi Nuh turut diceritakan. Sudah tentu penceritaan itu daripada sumber biblikal mereka.

Adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai seorang bapa yang Muslim, untuk memberikan penjelasan semula kepada anak saya mengenai siapakah Isa, Adam, Hawa, Ibrahim, Ismail dan Nuh di dalam agama Islam.

Dan adalah amat tidak cerdik sekiranya saya memberikan surat kepada pihak sekolah, menghalang mereka untuk menggunakan nama-nama nabi tersebut daripada perspektif agama mereka.


ISLAM, ALLAH DAN RASUL MILIK SEMUA MANUSIA

Sama seperti kalimah Allah, nama-nama nabi itu juga adalah milik semua. Bahkan di dalam al-Quran, digalakkan kepada kita untuk menyeru kepada penganut agama lain betapa nabi Muhammad itu juga adalah nabi mereka. Firman Allah di dalam surah al-A’raf ayat 158:

قُلْ يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنِّي رَسُولُ اللَّهِ إِلَيْكُمْ جَمِيعًا الَّذِي لَهُ مُلْكُ السَّمَاوَاتِ وَالأرْضِ لا إِلَهَ إِلا هُوَ يُحْيِي وَيُمِيتُ فَآمِنُوا بِاللَّهِ وَرَسُولِهِ النَّبِيِّ الأمِّيِّ الَّذِي يُؤْمِنُ بِاللَّهِ وَكَلِمَاتِهِ وَاتَّبِعُوهُ لَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

Katakanlah (Wahai Muhammad): “Wahai sekalian manusia! Sesungguhnya Aku adalah pesuruh Allah kepada kamu semuanya, (diutus oleh Allah) Yang Menguasai langit dan bumi, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan dia; Yang menghidupkan dan mematikan. oleh itu, berimanlah kamu kepada Allah dan RasulNya, Nabi yang Ummi yang beriman kepada Allah dan kalimah-kalimahNya (Kitab-kitabNya); dan ikutilah Dia, supaya kamu beroleh hidayah petunjuk”.

Perlu diperhalusi di sini, bahawa sebolehnya Islam menganjurkan penganutnya untuk menyeru kepada semua manusia tanpa mengira agama, bahawa Islam, Allah dan Rasulullah Muhammad SAW adalah milik semua. Ini adalah seruan wajib, bahkan bersifat universal. Cuma, terserahlah kepada yang mendengar seruan tersebut sama ada ingin beriman atau tidak dengannya.


WALAUPUN SUKAR, TAPI NILAILAH NIAT YANG TERZAHIR

Justeru, pada pandangan saya, kehangatan isu penggunaan kalimah Allah ini hanyalah bersifat kosmetik dan domestik. Memang benar, secara dasarnya ianya tiada kaitan dengan agama, tetapi tidak pula saya nafikan sekiranya niat menggunakan kalimah Allah itu untuk menyongsangkan fikrah umat Islam, maka hukumnya haram. Justeru, nilailah tindakan rakan-rakan Kristian itu melalui niat mereka yang terzahir.

Sekiranya niat mereka menggunakan kalimah Allah itu di dalam penerbitan untuk bacaan kepada penganut Kristian Arab dan Borneo, maka bagi saya tiada masalah. Sekiranya mana-mana agama menyebut Allah mencipta alam, Allah yang menurutkan bencana dan nikmat, maka itu juga tidak salah. Akan tetapi sekiranya mereka menyebut berhala ini namanya Allah, maka itu kesalahan besar.

Sebagai yang melihat dari jauh, saya juga berpandangan isu ini sebolehnya perlu dielakkan untuk diheret di dalam kuasa eksekutif dan kamar mahkamah. Tindakan Kementerian Dalam Negeri mengenakan larangan kepada akhbar The Herald daripada menggunakan kalimah Allah dikhuatiri adalah manifestasi daripada polarisasi agama bahkan bangsa di tanah air. Sudah tentu larangan itu disusuli dengan tindakan mahkamah oleh The Herald yang menatijahkan isu ini menjadi isu yang besar. Sebagai pemerhati dari kejauhan, alangkah indahnya kalau isu ini boleh diselesaikan dengan dialog terlebih dahulu.

Bagi rakan-rakan penganut agama Kristian, percayalah yang asas agama kami adalah bertoleransi dengan semua agama. Agak malang sebahagian daripada Muslim melakukan beberapa tindakan yang bercanggah dengan agama mereka sendiri. Saya tidak merujuk kepada kejadian membakar 3 gereja kerana ianya masih di dalam siasatan, akan tetapi sekiranya benar ianya dilakukan oleh Muslim, itu adalah tindakan keji dan tiada kaitan langsung dengan agama Islam.

Di saat yang agak tegang ini, mungkin sebahagian kecil rakan-rakan penganut agama Kristian akan nakal berfikir untuk bersetuju dengan label barat terhadap Islam sebagai agama pengganas. Maka akan dicarilah di dalam 6,236 ayat di dalam al-Quran, firman suci yang mengharuskan memerangi non-Muslim secara keseluruhannya. Saya cadangkan, jangan terpengaruh dengan agenda barat. Kita bangsa timur yang hidup dalam harmoni. Sekiranya terjumpa ayat mengenai perang dengan non-Muslim, maka kajilah konteksnya. Saya boleh nyatakan ayat-ayat perang itu, majoriti Muslim tidak menghafalnya langsung, bahkan kalau disuruh untuk mencari surah dan ayat berapa, tidak akan dijumpai mereka. Akan tetapi di sana terdapat satu surah yang hampir semua Muslim menghafalnya, iaitulah surah al-Kafirun, surah yang ke 109 di dalam al-Quran. Di dalam surah ini, Allah memberikan penegasan terhadap kebebasan beragama kepada semua. Kalau terjumpa ayat perang, kaji konteksnya dan jangan abaikan surah al-Kafirun. Islam itu datang dalam satu pakej lengkap, bukannya berdasarkan pilihan ayat tertentu sahaja.

Anda juga perlu berhati-hati sekiranya ingin meneruskan penggunaan kalimah Allah di dalam penerbitan anda terutamanya di Semenanjung Malaysia. Di Borneo, realitinya ialah tiada masalah kalimah Allah digunakan. Akan tetapi di Semenanjung, sekiranya ia didapati bercanggah dengan perlembagaan negara, yang melarang penyebaran agama lain di kalangan Muslim, maka ia adalah tindakan yang salah. Berhati-hati juga, kerana ada gereja Kristian seperti The Southern Baptist Theological Seminary yang melarang menggunakan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan anda kerana bercanggah dengan konsep triniti, seperti yang boleh dibaca di sini.

Bagi Muslim yang berdemonstrasi menyatakan bantahan terhadap penggunaan kalimah Allah, saya tiada halangan kerana ini adalah amalan negara demokrasi. Akan tetapi jelas sekali isu ini seolah-oleh telah dipolitikkan. Kenapa ada sebahagian demonstrasi dibenarkan, dan ada pula demonstrasi yang diharamkan?

Kepada mereka yang keluar berdemonstrasi, saya cadangkan minggu hadapan anda berdemonstrasi juga menyatakan bantahan dan kemarahan terhadap beberapa isu yang mengguris umat Islam yang lain. Contohnya, isu lama seperti mufti yang dipecat kerana menangkap perempuan Muslim yang mempamerkan aurat memberahikan di dalam pertandingan ratu cantik, larangan kepada sebahagian jabatan agama untuk melakukan kerja nahi munkar. Selain itu, ada juga parti majoriti non-Muslim yang mengeluarkan poster dan propaganda mengina hukum jenayah Islam seperti sup tangan di negeri yang ingin melaksanakan hukum syariat. Ini adalah jelas menghina Islam. Yang lebih hina lagi, terdapat banyak kenyataan sinikal dan berdosa pemimpin beragama Islam sendiri yang menghina hukum-hakam Islam. Ini adalah lebih utama ditentang.

KESIMPULAN

Justeru, saya berpandangan sekali lagi bahawa isu ini boleh dihamornikan penyelesaiannya dengan dialog antara pihak terbabit. Seboleh-bolehnya elakkanlah tindakan melanjutkan isu ini di mahkamah, walaupun agak sukar kerana ianya telah mula diheret terlebih dahulu ke kamar tersebut. Dalam masa yang sama, saya mencadangkan agar kalimah Allah itu digunapakai dalam konteks realiti di Semenanjung, dalam keadaan ’status-quo’nya. Saya juga menyokong mereka yang tiba-tiba muncul menjadi hero Islam, akan tetapi ingatlah menyokong Islam bukannya dengan sokongan nama Allah sahaja. Ianya lebih daripada itu, meliputi apa yang Allah itu suruh dan perintah. Sekiranya isu ini tidak ditangani dengan baik, saya bimbang kekhuatiran saidina Umar di dalam kisah keengganan beliau solat di Holy Sepluchre, dan perangai al-Hakim bi Amrillah, akan berlaku di tanah air yang tercinta.



*abidfana merupakan 'nickname' bagi Ustaz Irfan yang merupakan mentor iLuvislam.com di United Kingdom dan bekas moderator agama iLuvislam.com. Beliau merupakan pakar dalam kajian Palestin dan kini menetap di Abeerdeen, United Kingdom. Ustaz Irfan aktif menulis di www.abidfana.com. Artikel asal boleh didapati di sini.



Dunia Herbs

1