Wanna Help me? Click Here....(^_^)

Kursus Kompilasi Perniagaan Internet

Surirumah Jutawan

Sunday, July 24, 2011

Perlu ke alasan untuk buat dosa???

"Aku dah usaha tinggal dah, tapi tak mampu. Nak buat macam mana"


"Tak boleh bai, aku ni lemah dengan godaan. Nafsu kuat sangat. Tu yang tak boleh tinggal benda-benda ni"


"Allah dah takdirkan aku camni. Aku nak buat camna. Dah tertulis di lauh mahfuz aku ni buat maksiat-maksiat ni. Takdir aku memang begini"


Itulah dia antara alasan yang sering didengari. Mungkin kita tidak pernah mendengarnya daripada mulut orang lain.


Tetapi kita mendengarnya daripada hati kita sendiri.


Ya. Kita memberikan alasan, untuk membenarkan kita melakukan dosa, keingkaran kepada Allah SWT.


Kita tunjukkan pada ketidak mampuan kita, kita katakan ia adalah punca godaan yang datang, malah adakalanya kita meletakkan perkara ini atas takdir Allah dan menyatakan ini semua susunan-Nya.


Inilah alasan-alasan kita.


Alasan untuk berdosa. Benarkah ia satu alasan yang melepaskan kita dari azab seksa-Nya?


Kita Yang Memilih Untuk Lemah


Dalam mengharungi kehidupan, sememangnya manusia akan bertemu dengan cabaran dan dugaan. Halangan demi halangan akan wujud untuk menguji insan.


Ujian ini adalah untuk melihat dari kalangan manusia ini, yang manakah yang terbaik amalannya, yang manakah yang layak menerima rahmat Allah dan memasuki syurga-Nya.


"Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat);" - Surah Al-Mulk ayat 2.


Maka sudah menjadi lumrah bahawa dalam kehidupan ada ujian.


Justeru apakah alasan tidak mampu?


Hakikatnya, semua manusia mampu melepasi ujian yang Allah sediakan. Allah SWT telah berjanji bahawa, setiap ujian yang ditimpakan ke atas diri manusia itu, berada dalam lingkungan kemampuannya.


"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya." - Surah Al-Baqarah ayat 286.


Jadi, bagaimanakah boleh tidak mampu?


Jawapannya adalah, kita yang memilih untuk lemah. Kita yang memilih untuk tidak mengharungi cabaran dengan bersungguh-sungguh. Kita memilih untuk tidak berusaha hingga ke akhirnya.


Kita memilih untuk tunduk dan menerima kegagalan, lantas redha dengan kemaksiatan yang kita lakukan.


Perhatikan betul-betul di dalam jiwa kita. Benarkah kita tidak mampu? Atau kita yang memilih untuk tunduk kepada kerosakan?


Takdir Allahlah Yang Silap?


Menuding kepada Allah dan menyalahkan-Nya atas dosa-dosa yang kita lakukan adalah satu jenayah yang besar. Itu tandanya keimanan di dalam jiwa sudah terkoyak dan rosak.


"Kenapa Allah benarkan aku buat dosa?" Kita akan bertanya-tanya.


Tetapi siapa yang memilih untuk melakukan dosa? Siapa yang bergerak untuk melakukan dosa? Siapakah?


Kita.


Ketahuilah di dalam kehidupan ini, Allah berikan manusia satu perkara yang besar bernama IKHTIAR, pilihan, untuk manusia memilih sendiri antara yang buruk atau yang baik. Maka terletak di tangan kita untuk bergerak ke arah mana.


Dan setiap arah yang kita ambil, kita perlu sedar, ada konsikuensinya.


"Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur)" - Surah Al-Baqarah ayat 256.


Di zaman Umar Al-Khattab RA, ada seorang lelaki mencuri. Bila ditanya mengapa dia mencuri, lelaki itu menjawab: "Aku mencari kerana, Allah telah mentakdirkan aku mencuri"


Saidina Umar menyuruh lelaki itu dipotong tangannya, dan disebat 40 kali.


Sahabat-sahabat terkejut dengan hukuman itu. "Wahai Umar, hukum untuk mencuri hanyalah potong tangan. Mengapa ditambah dengan 40 sebatan?"


"Potong tangan untuk mencuri, dan 40 sebatan adalah untuk tuduhannya ke atas Allah SWT"


Ini adalah dalil yang jelas bahawa, kesalahan kita adalah tanggungjawab kita sendiri.


Lelaki itu, boleh sahaja memilih untuk tidak mencuri. Allah memberikannya ikhtiar. Tetapi dia memilih untuk ingkar kepada Allah SWT dan melakukan kejahatan dengan sengaja.


Dan siapa yang mengetahui takdir Allah?


Tiada siapa mengetahui.


Justeru, bagaimana alasan bahawa: "Allah dah takdirkan aku macam gini, jadi orang jahat" itu boleh dipakai?


Pengajaran Pembunuh 100 Orang


Saya suka dengan kisah pembunuh 100 orang. Dia telah membunuh 99 orang. Kemudian dia hendak bertaubat.


Lihatlah. Dia telah membunuh 99 orang. Tidak pula dia menyalahkan Allah SWT atas tindakannya membunuh 99 orang itu.


Bahkan, dia bergerak pula hendak bertaubat kepada Allah SWT. Lihat usahanya itu. Lihat kehendaknya itu.


Sampai kepada seorang alim, alim itu berkata bahawa, orang sepertinya tiada harapan. Oleh kerana marah, dia membunuh pula orang itu, mencukupkan pembunuhannya kepada 100. Tetapi selepas itu, dia mencari lagi jalan untuk bertaubat.


Lihat. Walaupun seorang alim menyatakan kepadanya bahawa dia telah tiada harapan, dia tetap berusaha. Lihatlah kepada dia ini. Adakah dia berkata: "Memang Allah dah takdirkan aku begini"???


Akhirnya, dia bertemu dengan seorang lagi alim. Dan orang alim itu berkata bahawa lelaki itu perlu meninggalkan suasana yang tidak membina. Maka ditunjukkan satu perkampungan yang boleh memberikannya suasana untuk bertaubat.


Maka bergeraklah lelaki itu. Tetapi di tengah perjalanan, dia meninggal dunia. Meninggal dunai tanpa sempat bertaubat. Tetapi dalam keadaan sedang berusaha untuk bertaubat.


Dan dia dimasukkan ke dalam syurga. Kisah ini boleh didapati dalam Sohih Muslim dalam bab Taubat.


Lihatlah bagaimana Allah membalas usahanya. Dia tidak sempat pun bertaubat.


Tetapi dia tidak berputus asa untuk menebus dosanya. Dia tidak berputus asa mencari jalan keluar.


Dia berusaha dan berusaha tanpa menuding jari kepada itu dan ini. Dia tidak pula memberikan alasan bahawa takdir tidak menyebelahinya dan dirinya sudah ketagih, tidak berkemampuan dan sebagainya.


Tetapi dia berusaha. Dia menggagahkan dirinya. Dia berusaha merapat kepada Allah SWT. Dia tidak memilih untuk lemah. Dia tidak memilih untuk semakin jauh daripada Allah.


Lihatlah dia.


Penutup: Pandanglah Kepada Diri. Diri Itu Yang Perlu Diperbaiki


Pokoknya, ketidak mampuan kita bukan alasan. Allah juga tidak pernah bersalah dalam hal ini. Tetapi diri sendirilah yang perlu dipersalahkan.


Mengapa memilih jalan sedemikian? Mengapa tidak berusaha sehingga habis hayat?


Mengapa tidak bergerak mendekati Allah dengan sepenuh kekuatan? Soalan-soalan ini perlu dilontarkan kepada dalam diri kita.


Perhatikan diri kita.


Yang bersalah hakikatnya adalah kita.


Kita yang memilih jalan kefasadan.


Dan siapa kata kita tidak boleh keluar?


Allah kah kata? Adakah kita mengetahui?


Hakikatnya, kita yang memilih untuk terus kekal dalam kerosakan.


Justeru, siapa yang memilih untuk keluar?


Sumber Daripada: www.syok.org


Dunia Herbs

1