IBADAH Menuntut Ilmu Kepentingan Ilmu Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-Bazzar
Sunday, May 16, 2010
Selamat hari Guru Papa
Pengalaman saya menjadi seorang pelajar, saya sentiasa cuba mematuhi arahan yang guru berikan pada saya, saya sentiasa menghormati mereka, dan tak pernah terlintas di benak hati saya untuk bersikap memberontak terhadap mereka. Guru favourite, ada ke ye? Bagi saya semua guru-guru yang mengajar saya adalah guru favourite saya, tak ada bezanya, mereka adalah guru yang terbaik bagi saya.
Teringat kenangan semasa bersekolah di Sekolah Menengah Teknik Bachok(SMTB), banyak pengalaman dan pengajaran yang telah membuat saya menjadi matang. Terutama sekali pengetua Noor Azahan, seorang pengetua yang berdedikasi, baik, penyayang dan bertanggungjawab. Kebanyakan pelajar memanggil beliau dengan panggilan papa, dia bagaikan ayah buat kami semua, senantiasa menasihati kami dan memberikan perangsang supaya kami berjaya dalam kehidupan kami. Saya masih ingat semasa saya tingkatan 4, masa tu tak dapat sesuaikan diri dengan keadaan di asrama lagi, papa banyak menasihati saya yang ini merupakan satu cabaran yang saya perlu lalui. Papa menceritakan bagaimana suka duka beliau belajar di UK selama bertahun-tahun dan jarang sekali dapat pulang ke kampung halaman untuk menjenguk orang tua beliau.
Beliau merupakan inspirasi setiap anak-anaknya yang belajar di SMTB, bagi saya papa merupakan seorang ayah semasa saya belajar disana, dia tak pernah anggap pelajar-pelajarnya sebagai anak murid, tapi beliau lebih suka anggap kami semua sebagai anak beliau dan kami merupakan tanggungjawabnya untuk mendidik kami supaya menjadi insan yang berguna.
Saya mendoakan kebahagiaan dan kesejahteraan hidup kepada semua guru-guru yang telah berjasa mendidik saya sehingga saya menjadi seorang yang tahu membezakan baik dan buruk sesuatu perkara. Akhir sekali saya mewakili salah seorang bekas pelajar SMTB mengucapkan Selamat Hari Guru kepada cikgu-cikgu yang telah mengajar kami selama ini dan tidak lupa juga kepada papa kami iaitu Pengetua Noor Azahan, terima kasih banyak-banyak papa kerana sentiasa sabar dalam mendidik kami.
Kami doakan semoga cikgu-cikgu kami serta papa sentiasa berjaya dalam apa jua yang anda lakukan. Sekali lagi saya ucapkan berbanyak terima kasih dan SELAMAT HARI GURU kepada semua guru-guru di seluruh Malaysia. Barakallahufikum. Wallahualam.
Coretan Dari,
Mohd Amin Firdaus
Pelajar Sekolah Menengah Teknik Bachok Sesi 2004/05