IBADAH Menuntut Ilmu Kepentingan Ilmu Hadith : Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Jadikanlah dirimu orang alim (berilmu) atau orang yang menuntut ilmu atau orang yang selalu mendengar pengajaran atau orang yang mencintai (tiga golongan yang tersebut) dan janganlah engkau menjadi dari golongan yang kelima, yang dengan sebabnya engkau akan binasa.” Riwayat al-Bazzar
Tuesday, May 4, 2010
Syurga Di bawah Telapak Kaki Ibu
(kredit gambar kepada iLuvIslam.com)
Persoalan yang sering bermain di minda saya apabila tiba Hari Ibu selama ini ialah adakah aku ini seorang anak yang taat pada kedua Ibubapaku? Berapa kalikah aku telefon bertanyakan khabar orang tua ku dalam masa seminggu? Agaknya apa yang mak ayah ku makan hari ini? Pernahkah aku berterima kasih pada diaorang kerana melahirkan aku dan membesarkan aku bagaikan menatang minyak yang penuh? Ini adalah beberapa persoalan yang selalu bermain di ruang minda saya.
Saya merasakan saya ni bukanlah seorang anak yang baik, sebab dulu masa kecil saya selalu buat mak ayah saya susah hati. Minta itu, minta ini, tapi diaorang tak pernah merungut. Demi anak yang tersayang mak ayah saya sanggup korbankan kepentingan diri diaorang demi memenuhi kemahuan saya yang tak pernah padam. Mak ayah saya sanggup tak berganti pakaian baru setiap kali tiba musim perayaan kerana duit gaji yang ada dihabiskan untuk membeli-belah pakaian baru untuk anak-anak tersayang. Betapa besarnya pengorbanan ibubapa kita. Kasih sayang mereka tiada penghujungnya, tapi adakah kita ini seorang anak yang tahu bersyukur, pernahkah kita cuba mengerti apa yang terbuku di lubuk hati ibubapa kita, terutama ibu kita.
Saya bersyukur kerana Allah SWT mengurniakan ibubapa yang sangat menyayangi diri saya ini. "Ya Allah, aku bermohon kepadaMu agar Engkau selamatkanlah kedua orang tuaku daripada perkara-perkara yang tidak diingini, lanjutkanlah usia mereka dan kurniakan mereka kesihatan tubuh badan, supaya apabila aku sudah dewasa dan mempunyai pekerjaan, aku ingin membalas segala jasa-jasa mereka terhadapku, Ya Allah, aku mohon kepadaMu supaya apabila aku sudah mendirikan rumah tangga, aku tidak melebih-lebihkan kasih sayangku terhadap isteriku dan janganlah Engkau jadikan aku seorang anak yang lupakan ibubapaku. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, dari Engkau aku datang, kepadaMu juga aku kembali." Ya, inilah doa yang saya selalu doakan untuk kedua orang tua saya. Semoga Allah menjadikan saya seorang anak yang soleh dan taat kepada kedua orang tua saya.
Kita pernah mendengar kisah Al-Qamah kan? Salah seorang sahabat nabi yang sentiasa melebih-lebihkan isteri dia dari ibu kandungnya sendiri. Sampaikan ibu Al-Qamah berasa kecil hati dengan sikap Al-Qamah sehinggakan apabila ajal datang menjemput Al-Qamah, dia susah untuk melafazkan kalimah syahadah. Cuma selepas ibunya mengampunkan segala perbuatan Al-Qamah dan meredhakan permergiannya barulah Al-Qamah dapat melafazkan kalimah syahadah. Itu kisah sahabat nabi, hanya kerana si ibu berkecil hati dengan sikap si anak, si anak susah untuk melafazkan syahadah. Hati ibu ni mudah tersentuh walaupun dengan hal-hal yang kecil. Jagalah hati ibu kita, saya ingin berpesan pada diri saya sendiri serta pada kaum-kaum adam yang lain, bila dah kahwin dan ada isteri janganlah kita melebih-lebihkan isteri kita. Keutamaan sepatutnya diberi kepada ibu kita kemudian ayah kita. Selepas itu barulah isteri kita, betulkan saya jika saya salah.
Mungkin ada yang tertanya-tanya kenapa terdetik dihati saya untuk menulis cerita tentang Al-Qamah ini. Supaya saya tidak lupa siapa diri saya serta tanggjungjawab saya kepada ibubapa saya. Supaya saya tidak mengutamakan isteri saya lebih dari ibubapa saya. Betapa besarnya dosa saya terhadap kedua ibubapa saya sebab semasa kecil dulu saya selalu degil dan menengking diaorang. Tapi saya tahu, walaupun mak ayah saya berkecil hati dengan sikap anak-anaknya, mereka tetap memaafkan kesalahan yang pernah dilakukan oleh kita. Saya sayangkan mak serta ayah saya, tanpa mereka siapalah saya. Merekah telah bersusah-payah membesarkan saya, memberi saya pendidikan agama agar saya boleh menjadi pembela nasib mereka di hari tua mereka nanti. InsyaAllah, saya akan menjadi seorang anak yang soleh dan taat kepada kedua ibubapa saya. Hargailah kedua ibubapa kita semasa mereka masih hidup di dunia ini, manfaatkan masa yang ada untuk membalas jasa mereka. Kerana apabila mereka sudah tiada lagi, masa tu sudah terlambat untuk kita membalas jasa-jasa mereka. Sempena Hari Ibu yang akan disambut pada 9 Mei 2010 (Ahad), marilah kita sama-sama mengucapkan terima kasih dan memohon ampun di atas segala salah dan silap kita bukan sahaja kepada ibu kita, tapi juga kepada ayah kita. Sama-samalah kita berusaha kearah kebaikan, kerana sesungguhnya Allah SWT itu menyukai perkara-perkara yang baik. Wassalam, semoga Allah memberkati dan merahmati saudara/ri yang sudi membaca artikel saya yang tak seberapa ini. Kalau ada jarum yang patah, jangan disimpan di dalam peti, kalau ada silap dan salah, jangan disimpan di dalam hati.